Transformasi WP menuju wilayah ceria dan rakyat sejahtera - Ku Nan
Bernama
Januari 31, 2017 10:46 MYT
Januari 31, 2017 10:46 MYT
Sambutan hari Wilayah 2017 pada 1 Feb tahun ini kekal bertemakan 'Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera'.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam temu bual bersama Bernama berkongsi keazamannya untuk menjadikan warga di tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sentiasa ceria dan dapat menangani masalah yang menghimpit mereka.
Bagi Tengku Adnan, "Kami nak warga kota kita ini ceria kerana kami sedar sekiranya rakyat tidak ceria, ia akan membawa pelbagai masalah".
Berikut temu bual Bernama bersama Tengku Adnan baru-baru ini:
BERNAMA: Masalah kos sara hidup antara cabaran yang dihadapi warga kota, apa antara inisiatif kementerian untuk membantu mengatasi masalah itu?
TENGKU ADNAN: Kami sedang melihat bagaimana kami dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh warga Wilayah Persekutuan khususnya berkaitan kos sara hidup.
Kami dalam perancangan untuk mengeluarkan 'Kad Ceria' bagi membantu masyarakat membeli barang keperluan dengan kadar diskaun.
Kami juga melaksanakan program menyusuri kawasan daif dengan menghulurkan bantuan di bawah program Wilayah Prihatin.
Selain itu kementerian juga memperkenalkan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dengan membina 50,000 rumah mampu milik di Kuala Lumpur, 20,000 di Putrajaya dan 10,000 di Labuan.
Ia dijual dengan harga amat berpatutan iaitu bawah RM300,000 dan ada juga rumah untuk golongan daif yang jual dengan harga RM42,000.
Di Putrajaya, kami ada bas Nadi Putra yang pengguna bayar hanya 50 sen untuk pergi ke mana-mana lokasi di Putrajaya, manakala di Kuala Lumpur kami ada bas 'GO KL' yang tawarkan perkhidmatan percuma.
Selain itu, bermula tahun ini, kami memberi perkhidmatan bas percuma ke sekolah bagi warga Projek Perumahan Rakyat atau Perumahan Awam, dalam membantu meringankan beban mereka.
Kesemua inisiatif ini diharap membantu mengurangkan beban warga kota, apa pun banyak lagi perancangan lain yang akan dilaksanakan.
BERNAMA: Antara cabaran warga kota ialah berkaitan kesesakan lalu lintas, bolehkah Datuk Seri terangkan perancangan kementerian menangani isu ini?
TENGKU ADNAN: Saya sedar bahawa antara cabaran warga kota adalah kesesakan lalu lintas disebabkan pembangunan pesat membangun.
Berilah sedikit waktu, saya yakin masalah ini akan terus berkurangan dalam tempoh lima tahun.
Kami juga sedang lihat kaedah mengurangkan bilangan kenderaan persendirian memasuki bandar, itulah hasrat saya.
BERNAMA: Datuk Seri, sejauh mana usaha untuk mencapai hasrat itu?
TENGKU ADNAN: Saya yakin kami mampu capai, sebab kami sedang laksanakan pelbagai insiatif ke arah itu, contohnya, memperkasakan sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan dan Mass iaitu LRT dan MRT.
Di Putrajaya pula bermula Mac ini, kami akan laksanakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas elektrik.
BERNAMA: Di bawah inisiatif 'Greater KL/ Klang Valley', terdapat sasaran menjadikan Kuala Lumpur sebagai 20 bandar raya terbaik di dunia untuk menetap menjelang 2020, sejauh manakah usaha itu?
TENGKU ADNAN: Kami sedang tumpu ke arah mengurangkan kadar pelepasan gas karbon dengan memperbanyakkan pembangunan hijau di dalam bandar, seperti menanam kira-kira 100,000 pokok menjelang 2020 dan projek mesra alam sekitar yang lain.
Semua inisiatif ini bertujuan memberi keselesaan kepada warga kota, program yang dilaksanakan itu adalah bagi memastikan persekitaran, pembangunan infrastruktur dan keselamatan yang baik sekali gus menarik lebih ramai penghuni di Kuala Lumpur.
Projek 'River of Life' misalnya, ia bagi menjadikan kawasan sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang menjadi kawasan pinggiran sungai yang berdaya maju dan memiliki nilai ekonomi tinggi.
Selain itu, menerusi inisiatif menjadikan Kuala Lumpur sebagai Green City, kami juga telah mulakan program ini, antaranya menukar semua lampu jalan dengan 'LED' untuk menjimatkan kos dan mengurangkan kadar pelepasan gas karbon.
Selain itu, masalah pembuangan sisa kedai makan, dengan memasang alat 'Grease Trap' di semua kedai makan dalam mengurangkan masalah pencemaran sungai, sekali gus kita akan mencapai sasaran 'Green City' yang membentuk sebuah bandar metropolitan yang mesra alam.
BERNAMA: Apakah visi jangka panjang bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan?
TENGKU ADNAN: Bagi Kuala Lumpur, visinya menjadi sebuah ibu kota yang maju, dan mampu beri persaingan kepada ibu kota ternama dunia seperti New York, London dan Paris. Malah Kuala Lumpur sekarang tersenarai sebagai Top 10 Most Visited Cities in the World, jadi kami harap kita boleh jadi Top 5 pada masa akan datang.
Bagi Putrajaya pula, ia perlu dikekalkan sebagai pusat pentadbiran negara, sekali gus berfungsi sebagai nadi dalam mengeratkan hubungan antara rakyat dan kerajaan.
Bagi Labuan, saya merancang untuk membangunkan pulau itu sebagai hab pelancongan dan pendidikan.
Di sebalik perancangan membangunkan ketiga-tiga wilayah ini, visi utama adalah menyemat semangat cintakan Wilayah Persekutuan.
Warga Wilayah Persekutuan sebenarnya unik, penghuninya datang dari seluruh negara, apa pun yang penting kami nak semangat cintakan Wilayah Persekutuan itu tersemat di hati mereka.
-- BERNAMA