Transformasi Umno beri peluang lebih luas kepada anggota - Ali Rustam

Bernama
September 12, 2013 08:29 MYT
Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan Umno sedang melalui proses transformasi demokrasi lebih luas yang sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai anggotanya untuk memilih barisan pemimpin mereka.
Merujuk kepada pemilihan parti yang dijadual berlangsung bulan depan, beliau berkata kaedah baharu yang akan digunakan menunjukkan Umno memberi ruang dan suara kepada anggota dan pemimpin di peringkat akar umbi.
"Semua calon (yang menawarkan diri) dilihat mempunyai pengalaman dalam kerajaan, parti, dan pemilih boleh menilai rekod perjuangan untuk memilih pemimpin terbaik," katanya ketika ditemu bual oleh Bernama.
Pada 4 Sept lalu, Mohd Ali mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu.
"Kita ingin terus pastikan Umno adalah parti yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu, masyarakat Islam dan negara," katanya.
Menurut Mohd Ali, kedudukan masyarakat Melayu dilihat semakin dipertikaikan dan beliau mahu apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak itu dihormati.
#bekas Ketua Menteri Melaka #Datuk Seri Mohd Ali Rustam