Transformasi segera sektor pertanian, pelancongan mampu kurangkan pengangguran di Sabah

Hasimi Muhamad
September 19, 2020 08:30 MYT
MADELINE: Kalau kita ingin menarik perhatian anak-anak muda bekerja di sektor ladang atau sektor pertanian, gajinya perlu setimpal. - Gambar fail
Transformasi segera perlu dilakukan kepada sektor-sektor produktif utama Sabah seperti pelancongan dan pertanian dalam merancakkan lagi pembangunan ekonomi di negeri Bawah Bayu itu.
Penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma berkata pembangunan secara mampan di negeri itu, sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran di Sabah yang ketika ini mencatatkan 5.8 peratus.
Jelas Madeline, kadar gaji yang ditawarkan dalam sektor pertanian perlu dikaji semula, selain meneliti sejauhmana penduduk di Sabah menikmati peluang pekerjaan daripada sektor-sektor tersebut.
"Di sektor perladangan kita lihat kebanyakan ia didominasi oleh pekerja asing dan adakah rakyat Malaysia atau Sabah sanggup menerima gaji yang diberikan kepada sektor perladangan, yang diterima oleh pekerja-pekerja asing.
"Jadi maknanya kalau kita ingin menarik perhatian anak-anak muda bekerja di sektor ladang atau sektor pertanian, gajinya perlu setimpal.
"Selain itu, tidak boleh lagi (wujud) sektor 3D - kotor, bahaya dan sukar. Jadi, cara untuk menyelesaikan (masalah berkaitan) 3D ini ialah melalui teknologi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI menerusi aplikasi Skype, pada Khamis.
Madeline yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia berhubung Laporan Sosioekonomi Negeri Sabah.
Berdasarkan laporan tersebut, sektor pertanian di Sabah menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada sektor pertanian di Malaysia, iaitu sebanyak 13.5 peratus.
Selain itu, sektor ekopelancongan Sabah turut menunjukkan pertumbuhan sebanyak lapan peratus pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding tahun 2018.
Mengulas lanjut, Madeline berkata projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah turut menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi lebih pantas dan menyeluruh di negeri Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun tegas beliau, projek sepanjang 1,236 kilometer (km) itu perlu diseimbangkan bagi mengelakkan kemusnahan ekosistem dan khazanah di dua negeri berkenaan.
"Kalau kita tengok Pan Borneo ini ia sangat sensitif dan jaringan ini dapat meluaskan jaringan ke Brunei. Jadi kita percaya mereka (penduduk Brunei) akan memandu (ke Sabah dan Sarawak) kerana selama ini mereka banyak ke Limbang, dan dengan adanya Pan Borneo, mereka boleh pergi ke Sabah dan Labuan.
"Kita juga jangan lupa jaringan ini boleh berkait dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan. Jadi, ia sedikit sebanyak akan memperluaskan jaringan dan laluan baharu ini akan menyebabkan rantaian antara Indonesia, Sabah, Sarawak dan Brunei," katanya.
Setakat Jun lalu, Pan Borneo mencatatkan kemajuan fizikal 32 peratus secara keseluruhan dengan pelaksanaan 11 pakej.
Ia dijangka siap sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya Jun 2023.
#3D #anak muda #Dr Madeline Berma #ekonomi #gaji #Lebuh Raya Pan Borneo #Pan Borneo #pekerja asing #pelancongan #pembangunan ekonomi #pengangguran #perladangan #pertanian #PRN Sabah #Sabah #Sabah Memilih #Sains #sektor produktif #transformasi
;