Transformasi perkhidmatan Pos Malaysia bermula seiring 'normal baharu'
Aza Jemima Ahmad
Mei 19, 2020 17:19 MYT
Mei 19, 2020 17:19 MYT
Pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini menjejaskan pergerakan ekonomi dan menyebabkan berlakunya krisis kewangan kepada sektor-sektor perniagaan di seluruh dunia.
Tidak terkecuali ialah syarikat perkhidmatan pos nasional, Pos Malaysia Berhad yang perlu menampung seramai 15,000 kakitangan dan pegawai operasi barisan hadapan yang turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi pada masa ini.
Pos Malaysia mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ramai pekerja seperti pemotongan gaji, pemotongan jumlah pekerja ekoran pandemik COVID-19 yang menjejaskan rantaian bekalan global, menyebabkan kelemahan dan penutupan perniagaan.
“Pos Malaysia terus berusaha gigih untuk memastikan masa depan pekerja ini dilindungi,” kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
“Walaupun terdapat peningkatan jumlah bungkusan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan Pos Malaysia yang lain seperti mel, bungkusan antarabangsa, Pos Aviation, Pos Logistics dan lain-lain telah terjejas,” jelas kenyataan itu.
Buat masa ini, Pos Malaysia sedang menjalani proses transformasi dalam usaha memulihkan perkhidmatan syarikat itu.
“Pos Malaysia akan terus melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat untuk negara di samping menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam tempoh yang mencabar ini.
“Semangat ini tertanam dalam DNA kami dan merupakan kewajiban kami di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO),” tambah kenyataan itu lagi.
Pos Malaysia turut berterima kasih atas usaha kolektif oleh para kakitangan yang komited dalam memastikan penghantaran dan perkhidmatan dilaksanakan dengan gangguan yang minimum terutamanya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Pos Malaysia mengharapkan sokongan yang berterusan dari orang ramai dan kami juga berharap mereka memahami cabaran yang harus kita lalui pada waktu sukar ini,” jelasnya lagi.
#Aidilfitri
#bungkusan
#COVID-19
#koronavirus
#kurier
#Malaysia
#mel
#operasi
#pos malaysia
#Poslaju