Transformasi Parlimen: Kerajaan setuju tubuh jawatankuasa bersama - Wan Junaidi

Nursyazwani Saiful Sham
September 3, 2021 10:40 MYT
Dalam pertemuan semalam, tiga perkara penting dibincangkan, termasuk mengkaji semula Akta Perkhidmatan Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan setuju menubuhkan jawatankuasa bersama Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses transformasi Parlimen.
Perkara ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, persetujuan dicapai pada pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun semalam.
"Susulan pertemuan itu, kami juga bersetuju membentuk sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementerian saya bagi memastikan pelbagai cadangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan segera.
"Untuk tindakan selanjutnya, saya akan menyerahkan laporan mengenai perkara ini kepada Kabinet untuk disahkan," kata Wan Junaidi.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu, katanya, tiga perkara penting dibincangkan, termasuk mengkaji semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan mewujudkan satu akta parlimen baharu.
“Pertama, untuk mengkaji dan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memberi kebebasan kepada Dewan Rakyat.
“Usaha ini adalah konsisten dengan apa yang dilakukan dalam sidang Parlimen antarabangsa. Ia adalah berlandaskan Artikel 62 dan Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan.
“Kedua, cadangan untuk mewujudkan Akta Parlimen Baharu bagi menggantikan Akta Hak Istimewa & Kuasa Parlimen 1952 (disemak semula 1988).
“Akta baharu ini perlu digantikan kerana akta sedia ada dikuatkuasakan pada 1952 berlandaskan keadaan semasa pada tahun itu.
"Akta sedia ada adalah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan landskap politik pada abad ke-21,” ujar Wan Junaidi.
Jelasnya, ia tidak seharusnya dipinda semula malah satu akta baharu yang lebih baik patut diwujudkan dan ia perlu lebih komprehensif, inklusif dan menyeluruh.
Dalam pada itu, perihal ketiga yang dibincangkan adalah pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Ini adalah langkah penting dan ia perlu bersesuaian dengan tindakan dan cadangan baharu yang dikemukakan di Parlimen.
“Pindaan semula perlu memberi fokus untuk memperkasakan Jawatankuasa Parlimen,” katanya.
#Dewan Rakyat #Dewan Negara #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #transformasi Parlimen
;