Transformasi ekosistem air fokus utama pastikan bekalan air bersih, mampan dan mampu dibiayai rakyat
Bernama
Februari 6, 2024 23:30 MYT
Februari 6, 2024 23:30 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof berkata antara fokus utama kementerian itu ialah melakukan transformasi dalam ekosistem air bagi memastikan sumber yang dibekalkan adalah bersih, mampan dan mampu dibiayai oleh rakyat.
Bercakap pada perhimpunan kementerian itu, beliau berkata pengurusan air memerlukan transformasi menyeluruh termasuk sumber, sungai, banjir dan kumbahan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang bersih.
"Ini juga termasuk pengurusan banjir bermusim dan banjir kilat bagi memastikan kebersihan sungai itu sendiri untuk peninggalan kepada generasi akan datang, " kata Timbalan Perdana Menteri itu dalam hantaran di laman Facebook.
Fadillah berkata ia juga merupakan hasrat yang diamanahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan harapan rakyat untuk menikmati bekalan air bersih dan selamat untuk kegunaan harian.
"Sudah pasti harapan yang tinggi bukan sahaja daripada pucuk pimpinan tetapi juga rakyat. Kita berdepan cabaran dan rungutan sebab bila masuk sahaja, tarif air dan elektrik naik, jadi rakyat harapkan perkhidmatan mesti juga naik," katanya sambil menambah ia adalah cabaran yang dihadapi jika tiada hala tuju dan pelaksanaan berkesan serta cekap dalam pengurusan sumber itu.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan akronim bagi kementerian berkenaan iaitu PETRA.
Bagaimanapun, semasa berucap Fadillah mencadangkan agar kementerian itu dijenamakan semula sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi memudahkan ia difahami berbanding nama yang digunakan ketika ini.
Beliau berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dan Perdana Menteri untuk dipersetujui dalam masa terdekat.
"Malam tadi ada sesi bersama pegawai kanan yang mengikuti kursus di INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara) dan bila membangkitkan cadangan ini, kebetulan ada yang dari sektor air kementerian berkata tidak ada nama air menjadikan mereka rasa tersisih dan ditinggal.
"Saya harap dapat endorsemen dan persetujuan untuk gunakan nama Transformasi Air daripada Kabinet dan Perdana Menteri, kalau dapat kementerian ini ditukar kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)," katanya.
Kementerian Peralihan Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam diwujudkan pada 12 Dis 2023 susulan rombakan Kabinet dan ia adalah pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia.
-- BERNAMA