Trak vaksin bergerak terus kepada majikan lebih praktikal, berkesan
Bernama
Jun 19, 2021 19:21 MYT
Jun 19, 2021 19:21 MYT
KUALA LUMPUR: Trak vaksin bergerak terus kepada kumpulan sasar seperti pekerja sektor pembinaan yang masih perlu beroperasi ketika pelaksanaan sekatan perjalanan penuh lebih praktikal dan berkesan sejak ia dimulakan awal bulan ini.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata masyarakat menyambut baik langkah itu dan menyifatkan ia dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada golongan memerlukan mereka bekerja di lapangan kerana risiko penularan COVID-19 di kawasan tersebut adalah tinggi.
Penyelia projek bangunan Ahmad Fadzli Abdullah, 45, berkata trak vaksin bergerak dilaksanakan secara khusus kepada majikan tertentu membantu lebih ramai pekerja untuk divaksinasi dalam tempoh masa yang cepat.
"Kalau kita hendak tunggu panggilan daripada pusat pemberian vaksin (PPV) mungkin mengambil sedikit masa dan tidak semua proses vaksinasi bagi pekerja dalam satu majikan itu dapat diselesaikan segera, ada yang sudah dan ada mungkin belum.
"Melalui kaedah ini, ia kelihatan lebih tersusun dan efektif serta meningkatkan lagi jumlah pemberian vaksin kepada pekerja yang ramai dalam satu-satu majikan," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa melakukan tinjauan ke atas pengoperasian trak vaksin bergerak MyMedic Wilayah yang menyediakan pemberian vaksin pertama kepada lebih 1,000 pekerja Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di Stesen Sentral.
Bagi Nolierny Salleh, 41, jurutera pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pula berpandangan vaksinasi melalui trak bergerak dapat memudahkannya untuk tidak menunggu giliran terlalu lama.
"Sebelum ini, dilaporkan kaedah permohonan vaksin yang dibuka secara rawak, ada kata boleh akses ada kata tidak boleh, tapi kalau kaedah seperti ini kita pekerja pun tidak lagi perlu tertanya-tanya bila akan divaksin walaupun sudah daftar di MySejahtera.
"Ada juga yang daftar tapi masih menunggu lama, sedangkan kita bekerja di lapangan ini terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19," katanya.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilapor berkata 30 trak bergerak vaksinasi akan diaktifkan di kawasan berkepadatan tinggi, serta tapak pembinaan bagi membolehkan imuniti kelompok di ibu negara dapat dicapai lebih awal menjelang Oktober tahun ini.
-- BERNAMA
#Trak Vaksin Bergerak
#sekatan pergerakan penuh
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#PPV
#vaksin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#PICK