Trak Vaksin Bergerak: 'Seronok... Kalau ada lagi vaksin saya nak!' - Warga emas
Hasimi Muhamad
Jun 7, 2021 14:46 MYT
Jun 7, 2021 14:46 MYT
KUALA LUMPUR: Mudah, cepat dan teratur...
Itu yang diakui oleh rata-rata penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini yang menerima vaksin menerusi Projek Rintis Trak Bergerak MYMedic@Wilayah pada Isnin.
Seramai 1,000 penduduk di kawasan berkenaan diberikan dos pertama vaksin yang mana kebanyakan penerima adalah dalam kalangan warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Tinjauan Astro AWANI pada hari pertama inisiatif tersebut digerakkan menyaksikan sambutan yang menggalakkan diberikan oleh penduduk setempat, yang mana mereka telah dijadualkan mengikut slot yang tertera di aplikasi MySejahtera.
Sebanyak dua unit trak vaksin bergerak ditempatkan di lokasi berkenaan dengan setiap trak mempunyai kapasiti sehingga 500 dos vaksin.
Warga emas, Anuar Ibrahim, 63 tahun, berkata inisiatif tersebut memudahkan mereka untuk mendapatkan akses vaksinasi dengan lebih cepat tanpa perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dijadualkan di aplikasi MySejahtera.
"Proses untuk mendapatkan suntikan vaksin kira tidaklah payah seperti yang dikatakan, cuma daftar dan kemudian kita dipanggil berjumpa doktor untuk diperiksa sama ada kita ada alergi atau tidak.
"Kemudian terus kita diberikan suntikan vaksin, dan ia mengambil masa tidak sampai tiga minit untuk melakukan satu suntikan vaksin.
"Jarum pun halus sangat... mana ada rasa (sakit), tak rasa pun... cucuk macam kita terima suntikan biasa sahaja," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Sementara itu, warga emas, Dafaryah Arfa, 63 tahun, menzahirkan keterujaannya selepas mendapatkan suntikan pertama.
Dafaryah yang menghidap kencing manis berkata, dia langsung tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan mengenai vaksin, sebaliknya nekad mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin demi kesihatan.
"Doktor kata tiga hari akan ada demam tetapi saya tak rasa apa... tak rasa sakit pun, seronok. Kalau ada lagi (vaksin), saya nak lagi.
"Saya tengok dalam televisyen (rasa) takut sebab jarum panjang, tetapi sekarang berani. Tak ada rasa sakit pun," kongsinya.
Segelintir penerima vaksin yang ditemui juga mengakui bahawa inisiatif Trak Vaksin Bergerak itu berjalan dengan lancar.
"Proses dia saya rasa berjalan dengan lancar sebab jarak rumah saya dengan tempat ini pun cuma bawah flat. Sejak saya tiba sekitar pukul 11 pagi, sekarang ini pun berjalan dengan lancar dan tiada apa-apa masalah," kata pekerja sendiri, Ismail Saod, 56 tahun.
Manakala, penyelia keselamatan, Anuar Abu Chik, 63 tahun, pula menambah: "Bagi saya, untuk semua kalau boleh wajib hadir. Ada yang sudah daftar tetapi belum dapat lagi.
"Saya harap mana yang daftar MySejehatera, sentiasalah kemaskini untuk dapat panggilan (janji temu) sebab saya ada dua kali (janji temu), satu di (PPV) Bukit Jalil tetapi mereka minta saya datang di sini."
Dalam perkembangan sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika membuat tinjauan di lokasi berkenaan berkata, projek perintis ini dijalankan untuk menguji tahap kepantasan dan sejauh mana kapasiti pemberian vaksin dapat dilaksanakan.
Ujar beliau, Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah itu berupaya memberi suntikan vaksin COVID-19 antara 15,000 hingga 20,000 dos sehari melibatkan warga Wilayah Persekutuan dengan sasaran 39 trak vaksin bergerak menjelang Julai ini.
Ia sekali gus merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
"Buat masa sekarang pemilihan lokasi adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan kes-kes positif. KKM akan nasihatkan kita yang mana (lokasi) yang perlu didahulukan.
"Saya ada baca juga kenyataan beberapa wakil rakyat, dia kata senarai itu tidak termasuk dalam kawasan dia dan sebagainya. Kita tidak buat ikut itu dulu (lokasi wakil rakyat), sebaliknya ini berdasarkan data yang dibekalkan oleh KKM terutama sekali dalam kawasan padat penduduk," katanya.
Trak Vaksin Bergerak dijadual berada di tapak pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) pada Selasa (esok).
#Trak Vaksin Bergerak
#Vaksin bergerak Wilayah Persekutuan
#Tan Sri Annuar Musa
#PKP
#vaksin
#imunisasi
#COVID-19
#pandemik
#warga tua
#vaksinasi