Trak Vaksin Bergerak: Golongan rentan, terjejas di Wilayah Persekutuan boleh 'walk in'

Hafizi Rosli
Jun 6, 2021 12:03 MYT
Ia melalui inisiatif Trak Vaksin Bergerak atau 'Mobile Vaccine Truck' yang diilhamkan oleh Kementeri Wilayah Persekutuan yang akan bermula pada Isnin - Foto/Facebook @annuarmusa
KUALA LUMPUR: Penduduk di Wilayah Persekutuan boleh mendapatkan vaksin secara 'walk in' dengan keutamaan diberikan kepada mereka dalam kategori rentan dan terjejas.
Ia digerakkan melalui inisiatif Trak Vaksin Bergerak atau 'Mobile Vaccine Truck' yang diilhamkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang akan bermula pada Isnin.
Menurut Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, ia sebagai usaha untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Apabila kita hantar trak vaksin bergerak ini, mereka boleh 'walk in' dan kita daftarkan mereka dan beri suntikan. Ini pendekatan yang mesra penduduk dan kita nak mudahkan penduduk yang mempunyai kesukaran pengangkutan.
"Sewaktu trak vaksin ini lebih 1,000 sukarelawan juga akan digerakkan sebagai 'shuttle' untuk penduduk datang dan diberikan vaksin," katanya dalam temu bual di AWANI Pagi yang disiarkan pada Ahad.
AWANI Pagi: Pelan Wilayah Persekutuan capai imuniti kelompok
Trak vaksin ini akan disasarkan ke 67 lokasi dikenal pasti dan ia akan dijalankan secara bergilir di seluruh Wilayah Persekutuan.
Selain golongan rentan, ia juga disasarkan di kampung tradisi yang kurang akses kepada pengangkutan awam, selain perumahan rakyat dan kawasan kos rendah.
Kawasan industri serta tapak bina jugak akan menjadi fokus trak ini.
"Walaupun ketika ini kita ada empat ke lima buah trak, namun nanti insya-Allah saya akan kumpulkan 40 trak yang setiap satu berkapasiti 500 dos sehari.
"Ini bermakna program ini boleh menambah 20,000 dos sehari untuk meningkatkan kadar suntikan kepada warga Wilayah," katanya.
Sementara itu Tan Sri Annuar meletakkan sasaran, Wilayah Persekutuan akan memberi vaksin sebanyak 50,000 dos vaksin dalam sehari.
Ia melalui beberapa pendekatan untuk mempercepatkan proses vaksinasi ini.
Usahanya termasuk kerjasama dengan 360 klinik dan hospital swasta.
"Buat masa ini 360 klinik dan hospital swasta sudah buat permohonan, dan berpuluh sudah memulakan operasi.
"Melalui program PPV di klinik dan hospital swasta ini, kementerian harap dapat laksana 15,000 dos di PPV ini dengan setiap premis boleh mendaftar vaksin bagi untuk 50-100 dos sehari," jelasnya.
Pendekatan menubuhkan kumpulan bergerak yang akan turun padang ke premis dan pusat jagaan juga akan digerakkan sebagai lokasi memberi vaksin.
"Contohnya di rumah jagaan warga emas, OKU, gelandangan, kebajikan anak yatim," jelasnya.
Kesemua usaha ini hasil kerjasama kementeriannya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI).
Sumber Facebook AnnuarMusa
#Tan Sri Annuar Musa #Kuala Lumpur #Putrajaya #Labuan #OKU #PPV #Kementerian Kesihatan
;