Trak UN tidak terbabit misi bantuan banjir di Malaysia - ATM

Bernama
Disember 27, 2021 18:16 MYT
Affendi turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan berita palsu. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan penglibatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dalam misi bantuan banjir di negara ini susulan sebuah video yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata video berdurasi satu minit yang dikongsikan dua individu pada 24 dan 7 Dis lepas di laman sosial itu memaparkan pergerakan beberapa trak tiga tan berlogokan United Nations (UN) berwarna putih.
Menurut beliau, dua individu berkenaan turut berkongsi teks dengan mempersoalkan kemunculan trak UN di negara ini dan mendakwa pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia.
"Paparan video tersebut adalah proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan ATM sebelum kenderaan tersebut diatur gerak ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).
"Kita menafikan video berdurasi satu minit yang tular di media sosial itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri menurun
Affendi turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu didapati menyebarkan berita palsu dan boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
-- BERNAMA
#banjir #trak UN #ATM #PBB
;