Tragik! Rumah pusaka ibu tunggal musnah dijilat api

Astro Awani
Jun 30, 2020 17:21 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 1. 40 petang, rumah pusaka yang didiami Rohaini Yusof, 52, musnah sepenuhnya akibat kebakaran. - Gambar Astro AWANI
Seorang ibu tunggal termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Pulau Duyong Kecil, di sini hangus dijilat api.
Dalam kejadian kira-kira jam 1. 40 petang, rumah pusaka yang didiami Rohaini Yusof, 52 tahun, musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
Menurut Rohaini, ketika insiden tersebut dia bersama empat lagi anaknya berada di kawasan halaman rumah.
Sejurus selepas itu, Rohani terlihat asap dari ruang tamu rumahnya sebelum disusuli api besar membakar kediamannya.
“Sedar-sedar saya melihat asap sebelum memaklumkan kepada jiran.
“Suami jiran tersebut menghubungi pihak bomba, dan kami tidak sempat mengambil apa-apa barangan pun… (kami) hanya lari sehelai sepinggang (untuk selamatkan diri).
“Surat beranak pun tidak sempat ambil,” katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.
Jelas Rohaini lagi, insiden yang berlaku sekelip mata itu menyebabkan dia gagal menyelamatkan barangan berharga.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mokhtar Dollah, seramai 23 kekuatan dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.44 petang.
Jelas beliau, ketika sampai di tempat kejadian api sedang marak dan membakar kediaman tersebut .
“Sampai di lokasi kita dapati kebakaran melibatkan 100 peratus rumah jenis sementara kekal.
“Keanggotaan bomba seramai 23 orang termasuk melibatkan tiga jentera FRT, satu tangka air serta sebuah van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Kita berdepan sedikit kesukaran kerana jalan terlalu sempit untuk sampai ke lokasi kebakaran. Pili bomba berada lebih kurang 400 kaki dari tempat kejadian,” katanya.
Setakat ini, katanya punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
#dijilat api #FRT #ibu tunggal #kebakaran #Kuala Terengganu #OKU #van EMRS
;