Tragedi ‘water rafting’: Ikram sempat hantar video kepada ibu sebelum lemas
Adie Sufian Zulkefli
November 16, 2024 12:45 MYT
November 16, 2024 12:45 MYT
KUBANG PASU: Seorang mangsa tragedi 'water rafting' di Sungai Jahang, Gopeng, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, sempat menghantar rakaman video kepada ibunya menunjukkan keadaan paras air sungai yang tinggi dan berarus deras, tiga jam sebelum kejadian berlaku.
Fatimah Walad, 70, berkata menerusi hantaran dalam aplikasi WhatsApp itu, anaknya turut memberitahu hendak makan dahulu sebelum memulakan aktiviti rakit arus deras (water rafting).
Menurut Fatimah, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu, yang bertugas sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi, jam 7 petang selepas hampir dua jam kejadian itu berlaku.
Katanya, tiga anak serta ahli keluarga yang lain sudah mengetahui lebih awal kejadian itu namun tidak berani untuk memberitahunya kerana bimbangkan kesihatannya disebabkan dia mempunyai masalah jantung.
"(Sebelum kejadian) makcik ingatkan dia (arwah) supaya solat jamak dulu kerana waktu zohor dah nak habis dan dia hanya balas - ok saja sebelum dia mengambil gambar serta video air sungai yang mengalir deras ketika itu.
"Lepas tu dia kata nak makan dulu dan tunjuk pula gambar motosikalnya untuk memaklumkan yang dia sudah sampai di sana," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, di sini pada Sabtu.
Fatimah yang juga pesara guru berkata, rakannya ada menghantar mesej WhatsApp kepadanya mengenai kejadian tiga pegawai JKR yang menyertai rombongan ke Sungai Jahang di Gopeng, lemas.
Katanya, ketika itu dia tidak tahu salah seorang mangsa adalah anaknya dan hanya mengetahui kejadian itu apabila abangnya serta anak-anaknya datang ke rumahnya dan memberitahu Muhammad Ikram meninggal dunia.
"Arwah baru bekerja di Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi sejak tiga tahun lalu.
"Sebelum ini dia tinggal dengan makcik selepas bapanya meninggal dunia sejak 2009 dan ketika makcik menjalani pembedahan jantung, tiga tahun lalu... dialah yang menjaga makcik.
"Namun selepas berkahwin dan dia dapat kerja di Langkawi, dia tinggal di sana sendirian di Kuarters JKR Langkawi di sana manakala isterinya, Nur Afifah Amira Ahmad Fauzi, 29, dan anak tunggal mereka, Aisy Adani, 1, pula tinggal di rumah mentuanya di sini kerana isterinya bekerja di sebuah bank di sini," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.
Jenazah Allahyarham Muhammad Ikram yang tiba di rumahnya pada jam 8 pagi dari Perak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Melele, Padang Sera, Kodiang hari ini.
Sementara itu, rakan arwah, Mohd Faris Mohd Husin, 30, kakitangan JKR Pendang berkata, dia cuba menghantar mesej WhatsApp kepada Muhammad Ikram pada jam 4 petang, semalam untuk mengetahui status keadaannya.
Katanya, sebelum itu dia sempat melihat status WhatsApp seorang lagi rakan mereka dan mendapati salah seorang mangsa lemas itu adalah Muhammad Ikram.
"Ketika itulah saya cuba menghantar WhatsApp kepada arwah untuk mengetahui keadaannya tetapi tidak dibalas menyebabkan saya syak berlaku padanya sebelum dimaklumkan dia sudah tiada," katanya.
Semalam Astro AWANI melaporkan, tiga pegawai JKR lemas ketika melakukan aktiviti 'water rafting' pada program 'team building' di Sungai Jahang, Gopeng, Perak.