Tragedi waktu sahur: Dua beradik maut kebakaran rumah kedai di Seri Iskandar
Abd Razak Mohd Ali
April 21, 2022 10:10 MYT
April 21, 2022 10:10 MYT
PARIT: Dua beradik maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Seri Iskandar, dekat sini, ketika ibu bapa mereka sedang bersahur awal pagi ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 4 tahun, dan Nor Fahmia, tujuh bulan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 5 pagi.
Menurutnya, rumah kedai tiga tingkat itu menempatkan sebuah restoran tomyam di tingkat bawah dan tempat tinggal pekerja kedai makan di tingkat dua, sementara tingkat tiga tidak didiami.
“Kebakaran berlaku di tingkat dua dengan kemusnahan kira-kira 60 peratus. Terdapat dua bilik di tingkat itu dan dua beradik tersebut dipercayai terperangkap semasa kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semasa kejadian, hanya tinggal dua beradik itu di tingkat dua manakala ibu bapa mereka, yang juga pemilik kedai, berada di tingkat bawah sedang bersahur bersama pekerja-pekerja lain.
“Pihak bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua kanak-kanak yang terperangkap dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata di tubuh badan,” ujarnya.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.