Tragedi van sekolah: Pemandu rasa bahagian depan van terangkat

Sinar Harian
Jun 20, 2024 16:52 MYT
Mohd Sohaimi berkata, pemandu van sekolah berusia 50 tahun itu dibebaskan pada pagi Khamis selepas keterangan diambil. - Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Pemandu van sekolah yang melanggar murid prasekolah di Jalan Suria, Bandar Seri Alam dekat sini pada Rabu dibebaskan dengan jaminan polis selepas disoal siasat selama sehari.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pemandu van sekolah berusia 50 tahun itu dibebaskan pada pagi Khamis selepas keterangan diambil.
"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod saman trafik dan perkhidmatan van sekolahnya pula beroperasi secara sah.
"Setakat ini hanya ibu mangsa dipanggil untuk diambil sebagai keterangan walaupun semasa kejadian dia berada di dalam rumah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Khamis.
Dalam kejadian pada jam 11.35 pagi itu, mangsa, Nurhafizah Nuljin, 5, dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6, turun dari van sekolah berkenaan selepas tiba di depan rumah mereka.
Mohd Sohaimi berkata, selepas menurunkan dua beradik itu, suspek meneruskan perjalanan apabila melihat abang mangsa turun dan melepasi belakang van sekolah terbabit serta beranggapan mangsa turut mengikutinya.
Katanya, tiba-tiba semasa bergerak ke depan pemandu berkenaan terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah terbabit tanpa disedari.
"Pemandu van sekolah berkenaan merasakan bahagian depan van sekolah terangkat sebelum berhenti dan mendapatinya sudah melanggar mangsa," ujarnya.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut tidak diseret seperti didakwa dan mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan (KKM) Masai sebelum disahkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#tragedi van sekolah #murid prasekolah maut #van terangkat #pemandu dilepaskan #diambil keterangan
;