Tragedi UiTM Dungun: Tiga pelajar miliki budi pekerti tinggi, rajin bantu pensyarah

Sinar Harian
Oktober 10, 2024 17:09 MYT
Azlinda (tengah) berkongsi gambar kenangan yang dirakam bersama tiga pelajar UiTM Jurusan Perakaunan yang maut dalam kemalangan pada malam Rabu. -Sinar Harian
DUNGUN: Empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terlibat dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah Honda CRV malam Rabu lalu disifatkan memiliki budi pekerti tinggi, rajin membantu dan menghormati pensyarah.

Ringkasan AI
  • Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Dungun, Azlinda Mohamad, mengenang empat pelajar yang terlibat dalam kemalangan sebagai individu yang berbudi pekerti tinggi, rajin membantu, dan menghormati pensyarah.
  • Kesemua jenazah pelajar UiTM yang terlibat dalam kemalangan telah disolatkan dan dihadiri lebih 2,000 warga UiTM sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.
  • Jenazah Muhammad Akmal Md Tukirin dibawa ke Muar, Johor; Khairil Anwar Jamaludin ke Ampang, Selangor; dan Ku Adib Aizad Ku Azmi ke Sungai Buloh, Selangor.

Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Dungun, Azlinda Mohamad berkata, sepanjang pengalaman mengajar mereka dalam jurusan tersebut, kesemua pelajar itu menunjukkan nilai-nilai yang baik dan turut rapat dengan pelajar lain.
Menurutnya, dia sendiri terkejut sebaik menerima senarai pelajar terlibat kemalangan kerana amat mengenali pelajar terbabit.
"Sebaik melihat nama yang dipaparkan pada skrin telefon bimbit itu, hati saya berdebar kerana kemungkinan besar itu adalah pelajar saya.
"Saya sangat berharap bahawa mereka tidak terlibat namun malangnya siapa kita yang mampu menidakkan takdir.
"Kami pasrah, kami reda dan terima ketentuan Allah SWT. Saya rasa satu UiTM berduka dan sayu dengan pemergian mereka," katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Hidayah UiTM kampus Dungun di sini pada Khamis.
Sebelum itu, kesemua Jenazah penuntut UiTM berkenaan selesai disolatkan pada jam 10.40 pagi dan bergerak ke lokasi pengebumian di kampung halaman masing-masing jam 11 pagi.
Solat jenazah yang dipimpin Imam Masjid UiTM, Muhammad Adam Ali yang dihadiri lebih 2,000 warga UiTM.
Jenazah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam.
Jenazah Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang merupakan penuntut Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang juga pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor. -Sinar Harian
#pelajar UiTM Dungun #Azlinda Mohamad #Muhammad Akmal Md Tukirin #Khairil Anwar Jamaludin #Ku Adib Aizad Ku Azmi
;