Tragedi UiTM Dungun: 'Saya tetap tunggu kemaafan semua keluarga mangsa' - Suami pemandu CRV
Nur Fazlizai Ali
Oktober 13, 2024 16:11 MYT
Oktober 13, 2024 16:11 MYT
DUNGUN: "Alhamdulillah berkesempatan berjumpa Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, serta ahli keluarganya, dan selepas ini saya akan berjumpa dengan keluarga mangsa yang lain."
Ringkasan AI
- Suami kepada wanita yang terlibat dalam nahas di depan kampus UiTM Dungun telah berjumpa dengan Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan dan keluarganya, serta berhasrat untuk memohon maaf kepada keluarga mangsa lain.
- Muhammad Ammar Danish, satu-satunya mangsa yang terselamat, telah dibenarkan pulang selepas lima hari menerima rawatan.
- Dia berkata kejadian tersebut memberi kesan besar kepada keluarganya dan dia berusaha untuk mendapatkan kemaafan daripada keluarga mangsa yang terlibat.
Itu luahan dan harapan suami wanita yang terlibat dalam nahas sehingga mengorbankan nyawa tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu lalu.
Dia berkata peluang keemasan itu diperoleh sebelum Muhammad Ammar Danish pulang ke Kuala Lumpur pada Ahad.
Jelasnya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu dan keluarganya sangat positif dan menerima permohonannya sekeluarga.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas ini dia akan berusaha untuk berjumpa ahli keluarga yang lain.
"Saya tetap akan menunggu untuk memohon dan mendapat kemaafan daripada keluarga mangsa walau berapa lama masa yang mereka perlukan," katanya.
Katanya lagi, dia faham dengan situasi keluarga mangsa apatah lagi apabila kehilangan orang tersayang dan bukan mudah untuk menghadapinya.
Malah, menurutnya, hatinya juga tidak tenteram selagi tidak berjumpa dan memohon kemaafan daripada mereka.
"Saya faham bukan mudah, namun saya tidak akan berputus dan berusaha untuk memohon kemaafan daripada mereka semua selepas mereka semua bersedia.
"Selagi tidak berjumpa dan mendapat kemaafan itu hati saya juga tidak tenteram," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pekarangan Hospital Dungun.
Tambahnya dia sememangnya berhajat untuk berjumpa dengan ahli keluarga pelajar terlibat selepas kejadian namun keadaan tidak mengizinkan.
Katanya, kejadian yang berlaku itu juga turut memberi kesan kepada mereka sekeluarga apatah lagi ia di luar jangkaan mereka.
"Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya dah sorok kunci kereta namun perkara tetap terjadi," katanya.
Terdahulu Muhammad Ammar Danish satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pada Rabu itu telah dibenarkan pulang selepas lima hari menerima rawatan.