Tragedi UiTM Dungun: 'Saya hilang dua anak akibat kemalangan' - Bapa

Nur Fazlizai Ali
Oktober 10, 2024 15:05 MYT
Ahli keluarga Khairil Anwar tidak dapat menahan kesedihan dengan pemergian mangsa. - Gambar/ Astro AWANI
DUNGUN: "Tujuh tahun lalu saya kehilangan anak sulung lelaki akibat nahas jalan raya dan kali ini insiden yang sama turut menimpa anak bongsu saya."
Itu luahan Jamaludin Hussin,53, bapa kepada salah seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) dungun yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh seorang Wanita, malam tadi.
Lebih memilukan apabila kedua-dua anak lelakinya itu meninggal dunia pada bulan serta masa yang lebih kurang sama.
Jamaludin berkata anak sulungnya itu dijemput Ilahi pada 3 Oktober 2017 dalam kemalangan jalan raya di Senawang, Negeri Sembilan.
Katanya lag, semalam anak bongsunya, Khairil Anwar, 20, pula meninggalkan mereka dalam keadaan yang sama.
Menurut Jamaludin dia menerima khabar hiba yang menimpa Khairil Anwar itu kira-kira jam 9 malam tadi dan bergegas ke Dungun, dari Ukay Perdana, dan tiba jam 3.30 pagi.
"Abang dia pun meninggal juga kemalangan pada tujuh tahun lepas bulan yang sama tarikh saja lain. Masa yang saya terima telefon… waktu (lebih kurang sama) saya terima berita kematian (abang) dia. Kini saya tiada lagi anak lelaki.
"Saya tak sangka kejadian ini berulang lagi dengan kehilangan dua anak lelaki akibat kemalangan pada bulan yang sama,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.
Jamaludin berkata , kali terakhir dia dan isteri, Norma Mohammed Nor,52, bertemu dengan anak bongsu daripada lima beradik itu pada 6 Oktober lalu ketika menghantarnya ke Dungun untuk memulakan semester baharu.
Katanya lagi jenazah Khairil Anwar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Dalam kejadian malam tadi, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam itu turut mengorbankan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakauanan, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.
Manakala rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, cedera parah.
#Tragedi UiTM Dungun #Ku adib aizab ku azmi #Muhammad Akmal Md Tukirin #Khairil Anwar Jamaludin
;