Tragedi UiTM Dungun: Reman pemandu wanita dilanjutkan hingga Selasa
Nur Fazlizai Ali
Oktober 13, 2024 10:10 MYT
Oktober 13, 2024 10:10 MYT
DUNGUN: Tempoh reman terhadap pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun dilanjutkan dua hari lagi.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman membenarkan lanjutan berkenaan sehingga Selasa, selepas tempoh reman terhadap suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV ketika kejadian, berakhir hari ini.
Ia sekali gus bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dijalankan terhadap wanita berusia 49 tahun itu.
Terdahulu, suspek yang juga ibu tiga anak itu tiba di Mahkamah Majistret Dungun pada jam 8.45 pagi.
Sebelum ini, suspek yang berasal dari Kampung Sura Tengah dan dipercayai mengalami masalah mental itu, direman empat hari bermula Khamis lalu.
Namun, polis memohon lanjutan reman bagi melengkapkan kertas siasatan.
Pada Rabu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Insiden kira-kita jam 7.20 malam itu menyebabkan mangsa Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 tahun, Khairil Anuar Jamaluddin, 20 tahun, dan Mohd Akhmal Tukirin, 25 tahun, maut di lokasi kejadian.
Sementara itu, rakan mereka Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20 tahun, mengalami kecederaan pada anggota badan.