Tragedi UiTM Dungun: Pemandu wanita didakwa atas pertuduhan bunuh

Nur Fazlizai Ali
Oktober 15, 2024 12:10 MYT
Norizan Ismail di Mahkamah Majistret Dungun hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
DUNGUN: Pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun atas tiga pertuduhan membunuh, hari ini.
Tertuduh Norizan Ismail, 49, berdepan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.35 malam 9 Oktober lalu di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun.
Bagi kesalahan itu tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara selama tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan, jika sabit kesalahan
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bharu dan menetapkan 17 November depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah dan Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Selepas ini ibu kepada tiga cahaya mata itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Pada Rabu tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
#Tragedi UiTM Dungun #Ku Adib Aizab #Muhammad Akmal Md Tukirin #Khairil Anwar Jamaludin #terkini
;