Tragedi tukar pemandu, dua penuntut UTeM maut
Shuhada Abdul Kadir
Disember 26, 2024 14:12 MYT
Disember 26, 2024 14:12 MYT
JASIN: Dua pelajar perempuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara, di sini, pada Khamis.
Ringkasan AI
- Dua pelajar perempuan UTeM, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, maut akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta mereka hilang kawalan dan merempuh besi penghadang di Lebuhraya Utara Selatan.
- Dua lagi pelajar, berusia 20 dan 21 tahun, cedera di bahagian kaki. Mereka dipercayai dalam perjalanan untuk bertukar pemandu di susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh.
- Pihak bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan dua mangsa yang cedera, manakala dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta dari arah Johor menghala ke Melaka itu terbabas sendiri dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
“Mangsa yang maut adalah penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri manakala dua lagi mangsa berusia 20 dan 21 tahun cedera di bahagian kaki.
“Kita percaya mereka ini bercadang untuk bertukar pemandu di susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataannya memaklumkan lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kira-kira pukul 6.23 pagi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas dan terdapat empat orang mangsa.
“Dua mangsa berjaya dikeluarkan, manakala dua lagi mangsa yang tersepit telah disahkan pihak Kementerian Kesihatan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambahnya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, sementara dua yang maut diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.