Tragedi Tg Sepat: Cucu nampak kelibat suspek - Polis

Hakim Rahman
Disember 13, 2017 15:25 MYT
Siasatan awal mendapati kebakaran bermula di dalam rumah namun pasukan penyiasat turut menemui tanda-tanda pembakaran terhadap kereta keluarga. - FotoBOMBA
Satu-satunya saksi tunggal yang terselamat dalam kejadian bunuh dan bakar di sebuah rumah di Tanjung Sepat, Sepang melihat kelibat suspek menetak datuk dan neneknya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu sempat melarikan diri ketika suspek bertopeng memasuki kediaman mereka.
"Dia melarikan diri dengan menyorok dalam tandas untuk beberapa ketika dan hanya keluar selepas menghidu bau asap," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Katanya, kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan trauma selepas melihat suspek menetak ahli keluarganya.
BACA: Tragedi Tg Sepat: Datuk, nenek dan cucu ditetak sebelum dibakar - Polis
BACA: Empat maut dalam kebakaran rumah di Tanjung Sepat
Mereka yang maut merupakan pasangan suami isteri dikenali sebagai Chia Tee Nang, 73, Lim Mai Shak, 68 dan cucu mereka, Chia Yuan Bin, 3, manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang masih belum dikenal pasti.
Tambah Azizan, siasatan awal pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati kebakaran bermula di dalam rumah namun pasukan penyiasat turut menemui tanda-tanda pembakaran terhadap kereta keluarga.
Ia menyebabkan rumah kayu berkenaan terbakar dengan cepat dan mangsa hanya ditemui selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
#kebakaran #khianat #polis #rentung #saksi #sekeluarga #Sepang #siasatan #tanjung sepat #tetakan
;