Tragedi Terawih: Gadis lupakan hasrat sambung belajar, patah pinggang dilanggar kereta

Vivi Sumanti
Mei 11, 2019 14:41 MYT
Norahannie Mohd Yusoff menunjukkan gambar adiknya Hazeren yang patah pinggang dilanggar kereta - Foto Astro AWANI
Seorang gadis terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran di universiti apabila dia terbabit dalam nahas jalanraya di Kampung Chedok, Ayer Lanas, Jeli Selasa lalu.
Mangsa, Nor Hazeren Mohd Yusoff, 18 dan ibunya, Mariam Abdullah, 57 hampir kehilangan nyawa apabila dirempuh sebuah motosikal yang dipandu laju selepas menunaikan solat terawih.
Ibunya, Mariam berkata, mereka berdua berjalan kaki pulang dari surau kira-kira 300 meter dari rumah mereka jam 9.30 malam kejadian.
"Secara tiba-tiba sebuah motosikal merempuh kami berdua menyebabkan kami melambung, anak jatuh ke tepi jalan, saya pula jatuh di tengah jalan, saya lihat anak tidak bergerak, sebab laluan jalan raya di situ sangat gelap dan sibuk dengan kenderaan, saya kerah kudrat dengan menjerit sekuat hati 'adik lari adik, lari kerana bimbang dia dirempuh kenderaan lain.
"Malangnya, datang sebuah kereta dari arah belakang dan terus menggilis anak di depan mata saya," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Mariam berkata, selepas digilis, anaknya terseret beberapa meter ke tengah jalan sebelum kereta yang melanggar anaknya melarikan diri.
"Saya hanya mampu menjerit meminta tolong dan tidak lama kemudian, beberapa orang penduduk kampung menghampiri kami dan membawa kami ke Hospital Jeli sebelum saya mendapatkan rawatan semalaman di hospital itu manakala anak dibawa ke HUSM," katanya.
Dia berkata, penunggang motosikal yang berusia 20-an yang mula-mula merempuh mereka pula mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah selepas cedera parah dan patah kaki.
Katanya, anaknya pula mengalami patah di bahagian tulang belakang dan rusuk serta cedera di bahagian kepala manakala dia sendiri cedera di muka bahagian kanan dan lenguh-lenguh badan akibat tercampak ketika dirempuh motosikal.
Petang sebelum kejadian Hazeren ada menunjukkan surat tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknolongi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak dalam jurusan Diploma Pengurusan Hartanah.
Dia sepatutnya mendaftar diri pada Julai ini.
"Anak kelihatan seronok nak buat persiapan ke universiti awam kerana dia baru menolak tawaran belajar di institusi swasta kerana kami orang susah dan ayahnya, Mohd Yusoff Bungsu, 63 hanya kerja kampung biasa," katanya.
Sementara itu, kakak mangsa, Norahannie Mohd Yusoff, 29 memaklumkan semalam adiknya sudah boleh bercakap dan meminta air untuk menghilangkan dahaga.
Katanya, adik bongsu daripada lima beradik itu juga akan menjalani pembedahan memasukkan besi dan skru pada Ahad ini dengan wang pembedahan dikumpul ahli keluarga selain kutipan derma Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli yang menjadi tempat terakhir adiknya belajar.
Bagi yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkan derma ke akaun Norahannie di Maybank bernombor 153056459473.
#cedera #gadis #Hospital #kemalangan #kereta #Nahas #Tragedi Terawih #UiTM
;