Tragedi Tanduo: MARA komited beri sokongan pendidikan kepada anak Allahyarham ASP Zulkifli

Fareez Azman
Mac 21, 2023 15:09 MYT
Menurut Asyraf Wajdi, MARA akan memberi bantuan sokongan terutama bagi kemasukan anak-anak Allahyarham ke dalam institusi pengajian di bawah agensi itu. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited untuk memberikan sokongan pendidikan kepada tiga anak Allahyarham pegawai polis Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah lebih sedekad lalu.
Menurut Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, ia sebagai menepati komitmen yang telah diberi oleh MARA 10 tahun lalu.
"Bertindak dengan pantas dalam hal ini, pihak MARA terus menghubungi Puan Nooraizah Noor (balu Allahyarham) dan kita dapatkan gambaran sebenar.
"Waktu itu (10 tahun lalu) banyak pihak datang membantu menyatakan simpati termasuk dengan pihak MARA menyatakan komitmen kita untuk membantu anak-anak puan Nooraziah apabila tiba masanya," jelasnya.
Tambah Asyraf, MARA akan memberi bantuan sokongan terutama bagi kemasukan anak-anak Allahyarham ke dalam institusi pengajian di bawah agensi itu.
"10 tahun lepas anak-anaknya masih kecil lagi, Akib paling sulung lima tahun sekarang dah tingkatan tiga. Bila tanya Akib pertama sekali dia cakap nak pergi ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Ramai anak-anak kita menjadikan MRSM pilihan pertama.
"Insya-Allah saya beritahu Akib, anak-anak sekarang sentiasa berkunjung ke website MARA, bulan September nanti apabila dibuka permohonan kemasukan (MRSM) terus beritahu ibu dia untuk buat permohonan dan kita akan berikan perhatian serius," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat MARA di ibu negara pada Selasa.
Sebelum ini, Nooraziah mendakwa ada pihak termasuk agensi kerajaan seperti MARA menjanjikan bantuan pendidikan peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi kepada anak-anaknya.
Namun ujarnya, selepas 10 tahun tragedi berdarah itu berlalu, perkara itu belum ditunaikan.
#Asyraf Wajdi Dusuki #MARA #kampung tanduo #Lahad Datu #Zulkifli Mamat
;