Tragedi Sungai Kim Kim: Irfan Wafiy derita penyakit tiada ubat - Bapa

Sinar Harian
Januari 22, 2024 17:50 MYT
Keluarga mangsa pencemaran Sungai Kim Kim hadir ke Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport Johor Bahru pada Isnin. - Gambar/ Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Perbicaraan kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di Mahkamah Tinggi pada Isnin bermula dengan bapa kepada Irfan Wafiy Idham Wazir, 16 menceritakan penderitaan anaknya yang menghidap penyakit Myokymia didakwa akibat tragedi pencemaran enam tahun lalu.
Perbicaraan hari pertama saman sivil itu dijalankan di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim.
Idham Wazir A Wahab, 53, yang juga saksi plaintif pertama berkata, keadaan kaki anaknya juga sentiasa menggeletar dan berada dalam keadaan kejang akibat pencemaran berkenaan.
Ketika disoal balas peguam, Walter Pereira pada perbicaraan kes saman sivil tersebut, Idham Wazir menjelaskan keadaan kesihatan anaknya yang kini sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Johor Bahru, masih belum sembuh.
Idham Wazir berkata, meskipun diuji dengan penyakit Myokimia namun Irfan Wafiy memperoleh keputusan peperiksaan di sekolah baru-baru ini, dengan cemerlang.
"Alhamdulillah sekarang dia solat dah tidak perlu pakai kerusi. Solat macam orang lain. Namun, penyakit itu ada lagi, belum sembuh. Rawatan terakhir adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya.
Seterusnya, Walter Pereira bertanya mengenai rawatan Irfan Wafiq memandangkan penyakit Myokimia tiada ubat dan tiada rekod untuk penyakit tersebut di negara ini.
"Sampai sekarang tiada lagi panggilan (doktor). Tiada 'follow up' daripada Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjutan. Doktor (yang rawat Irfan Wafiy) pun sudah pencen.
"Doktor pakar yang rawat anak maklumkan penyakit ini tak ada ubat dan tiada rekod untuk penyakit ini di Malaysia. Apa yang doktor bagi (ubat) 'trial and error' sahaja, berdasarkan kes-kes di luar negara.
"Namun ubat berkenaan tidak sesuai dengan anak saya. Bila anak saya makan, dia akan tidur. Dia 'student' takkan nak tidur," katanya.
Perbicaraan kes saman sivil RM30 juta terhadap 12 defenden termasuk Kerajaan Negeri Johor itu kemudiannya disambung pada Jun depan.
Peguam Datuk Kamarudin Ahmad memberitahu, tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada 2 Jun dan pada Ogos bermula pada 18 hingga 19 serta Oktober pada 14 hingga 15.
Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif kes itu diwakili peguam, Datuk Kamarudin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.
Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin, yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor mewakili defendan membabitkan Kerajaan Johor, Menteri Besar, bekas Exco Alam Sekitar Johor.
Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin Nurul Farhana Khalid dan Safiyah Omar pula mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia.
Manakala, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, dua pengarahnya serta pemandu lori, N Maridass, diwakili Phang Soon Mun, Chew Chun Wei dan Yvonne Chai.
Antara defendan lain yang akan disaman adalah Exco Alam Sekitar, JAS, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan P Tech Resources Sdn Bhd, syarikat yang membuang sisa toksik itu.
Kejadian pencemaran sisa toksik pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn Bhd, untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019. - Sinar Harian
#Sungai Kim Kim #mangsa tragedi #nasib penduduk #kes mahkamah
;