Tragedi SUKE: Prolintas ambil tindakan tegas jika terbukti ada kecuaian

Ridauddin Daud
Mac 23, 2021 18:05 MYT
Semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), polis, bomba serta jurutera perunding sedang bertungkus-lumus di lokasi kejadian. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkaitan jika wujud elemen kecuaian dalam insiden kren terjatuh sehingga mengorbankan tiga individu di projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, di sini pada Isnin.
Pengurusan dan Lembaga Pengarah Prolintas dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, mereka memandang serius isu keselamatan awam dan pekerja di tapak pembinaan.
"Kami mengalu-alukan komen, pandangan dan kritikan dari pelbagai pihak berkaitan insiden yang berlaku sebelum ini dan semalam.
"Walau bagaimanapun, sebarang komen yang berunsur hasutan, serangan peribadi dengan penggunaan bahasa yang kurang sopan serta mencela ketika ini tidak akan membantu keadaan dan amatlah kesali," kata kenyataan itu.
Insiden SUKE | Perkembangan semasa usaha keluarkan mangsa ketiga
BACA: Insiden SUKE: Lebih 24 jam, mangsa ketiga masih belum diturunkan
BACA: Insiden kren SUKE: Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti
Tambah mereka, semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), polis, bomba serta jurutera perunding sedang bertungkus-lumus di lokasi kejadian.
Ia bagi memastikan proses menyelamat, pengalihan dan pembaikan di tapak kejadian dijalankan dengan sempurna dan selamat.
"Sehubungan dengan itu semua pihak sedang berusaha sedaya upaya memastikan keselamatan
penduduk, pengguna jalan raya serta pekerja di sekitar kawasan tapak pembinaan.
"Proses yang rumit ini akan mengambil masa demi memastikan aspek-aspek keselamatan dipenuhi dan kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
"Pada masa yang sama siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. PROLINTAS dan SUKE akan memberi kerjasama penuh dalam mengenal pasti punca kejadian sebenar," ujar mereka dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut, sebarang tindakan susulan yang bakal diambil adalah bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa.
"Kami juga akan memastikan kebajikan dan keadaan mangsa serta keluarga yang terlibat diberikan perhatian yang sewajarnya," kata mereka.
Insiden SUKE | Lebih 24 jam, mangsa ketiga masih belum diturunkan
#suke #lebuh raya #kemalangan #runtuh #PROLINTAS #tindakan tegas #kecuaian #Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang #maut #bomba #polis
;