Tragedi solat Jumaat: Sinar Karangkraf lancar tabung #Sinar4NZ49Martyrs

Astro Awani
Mac 16, 2019 23:20 MYT
Bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa serta masjid yang terjejas, Sinar Karangkraf melancarkan Tabung Kecemasan #Sinar4NZ49Martyrs.
INSIDEN serangan pengganas ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati.
Sekurang-kurangnya 49 terkorban, manakala 48 yang lain cedera, kebanyakannya parah.
Bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa serta masjid yang terjejas, Sinar Karangkraf melancarkan Tabung Kecemasan #Sinar4NZ49Martyrs.
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammudin Yaacob berkata kutipan bertujuan membantu keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, selain membaiki masjid yang rosak.
"Kami terpanggil untuk memulakan sebuah tabung bagi membantu keluarga mangsa yang terbunuh dan juga yang tercedera.
"Jika kutipan kita agak tinggi, kita akan gunakan baki tabung untuk baiki dua masjid yang rosak kena tembakan, sekurang-kurangnya untuk tukar karpet yang berdarah itu," kata Husammudin.
Beliau berkata Sinar Karangkraf melancarkan tabung kecemasan tersebut susulan keperluan segera keluarga mangsa bagi tujuan perubatan dan perbelanjaan berkaitan.
"Kita rasa keperluan itu mendesak kerana ada 20 keluarga yang cedera yang memerlukan wang untuk rawatan dan perbelanjaan ke sana (Christchurch).
"Bagi yang terkorban pula, keluarga mangsa perlukan wang untuk pengebumian kerana perbelanjaannya di sini amat mahal.
Husammuddin menyasarkan jumlah kutipan mencapai RM2 juta dalam tempoh dua minggu tabung tersebut dilancarkan.
"Kami baru lancar selepas Isya tadi. Alhamdulillah kami sudah kutip RM1,000 lebih.
"Kita berharap, disebabkan masa yang singkat untuk dua minggu sahaja, kita sasar kutipan sekitar RM2 juta.
Beliau dalam pada itu menaruh harapan agar masyarakat dapat menyumbang ke dalam tabung tersebut bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi itu.
"Kita menyeru umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyumbang sebagai tanda solidariti kepada mangsa dan juga untuk ummah.
"Mari bersama kita hulurkan bantuan sebagai tanda kita bersama-sama dalam detik sedih ini, meringankan beban umat dan menyantuni dengan kasih sayang terutama kepada keluarga mangsa yang meninggal dan cedera serta masjid yang terjejas," kata Husammudin.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank di bawah:
TABUNG Sinar4NZ49Martyrs
MBB: 5642 7652 9068
SINAR KARANGKRAF SDN BHD
* Slip/Tanda sumbangan, sila whatsapp ke hp 013-3124164
#Masjid Al Noor #Masjid Linwood #New Zealand #serangan masjid Christchurch #Sinar4NZ49Martyrs #Tabung Kecemasan #Tragedi Solat Jumaat
;