Tragedi solat Jumaat: Rakyat Malaysia yang cedera stabil, seorang lagi masih hilang - Kementerian Luar
Astro Awani
Mac 16, 2019 14:18 MYT
Mac 16, 2019 14:18 MYT
Dianggarkan 1,208 rakyat Malaysia yang berada di Christchurch, New Zealand disahkan berada dalam keadaan selamat kecuali seorang yang dilaporkan masih hilang.
Kementerian Luar juga mengesahkan empat rakyat Malaysia terlibat dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat itu, tiga daripadanya cedera dan seorang masih belum dapat dikesan ketika ini.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdulllah berkata ketiga-tiga rakyat Malaysia tersebut yang sedang menerima rawatan dan kini dalam keadaan stabil, akan menjalani pembedahan adalah Mohd Tarmizi Shuib, 6, dari Kedah, Rahimi Ahmad ,39, dari Pulau Pinang dan Mohd Nazril Hisham Omar,46, dari Kelantan.
Seorang rakyat Malaysia yang masih belum dijumpai adalah anak kepada salah seorang mangsa tembakan Mohd Tarmizi Shuib iaitu Mohd Haziq Mohd Tarmizi berusia 17 tahun.
“Saya diberitahu oleh Pesuruhjaya kita di sana yang keadaan sudah stabil keadaan selamat dan rakyat Malaysia yang berada disana kita nasihatkan juga supaya berhati-hati dan jika ada apa-apa perkara mereka harus berhubung dengan Pejabat Pesuruhjaya dan kita telah pun edarkan nombor telefon kepada mereka di sana,” kata Saifuddin ketika ditemui media di sini hari ini.
Menurut Saifuddin lagi dua orang pegawai, saorang ‘pegawai diplomatik’ dan seorang ‘atache tentera’, telah berada di Christchurch manakala saorang lagi pegawai kanan sedang dalam perjalanan ke sana untuk memberi apa jua bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Tambah Saifuddin lagi kerajaan juga akan membantu menguruskan perjalanan keluarga mangsa terlibat ke New Zealand.
“Wisma Putra sedang berurusan dengan keluarga mereka di New Zealand sebab ada di kalangan mereka ini yang anaknya ada di sini di Kuala Lumpur atau pun di Malaysia, ada yang ibu bapa berada di Malaysia jadi kita akan cuba bantu menguruskan perjalanan mereka ke sana dan apa jua,” katanya.
Pada Jumaat satu insiden tembakan berlaku di dua masjid di Christchurch, menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut dan berpuluh cedera.
#Kementerian Luar
#Malaysia
#pengganas
#rakyat Malaysia
#Saifuddin Abdulllah
#serangan
#serangan Christchurch
#serangan masjid
#serangan New Zealand
#tembakan
#Wisma Putra