Tragedi solat Jumaat: 'Mohon doakan Haziq ditemui segera' - Ibu saudara
Astro Awani
Mac 17, 2019 19:03 MYT
Mac 17, 2019 19:03 MYT
Tiga hari selepas tragedi tembakan di Christchurch, kelibat Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, masih belum ditemui.
Ibu saudaranya Mariani Shuib, 49, berkata hanya doa rakyat Malaysia menjadi kekuatan kepada keluarga mereka dan berharap rakyat Malaysia mendoakan agar anak saudaranya ditemukan.
Mohd Haziq merupakan anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang cedera terkena peluru di bahagian belakang badannya.
Menurut Mariani, walau dalam keadaan mana sekalipun, keluarga mahu melihat sendiri jasad Mohd Haziq selain menolak tanggapan buruk yang tersebar di media sosial.
“Saya mohon rakyat Malaysia mendoakan agar Haziq ditemui, sama ada hidup atau mati, yang penting kita jumpa dia,” katanya dengan nada sebak kepada Sinar Harian.
Sehingga kini, nasib Mohd Haziq belum diketahui selepas melarikan diri ketika serangan pengganas di masjid berkenaan, kelmarin.
Mariani berkata, adik bongsunya, Mohd Tarmizi kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan membuang peluru di bahagian belakang badannya.
“Mohd Tarmizi sudah boleh bercakap, kami sekeluarga berasa sangat lega kerana pembedahan itu berjaya. Dia sendiri yang mesej saya melalui WhatsApp, beritahu yang Haziq belum ditemui. Namun tidak menceritakan butiran pencarian dilakukan pihak berkuasa di sana,” katanya.
Menurutnya, dia bersama abang kedua, Zakaria Shuib dan sepupunya, Nordina Ahmad Fauzi, akan berlepas ke New Zealand esok.
“Saya tak sangka urusan pemergian ke sana dipermudahkan dan lancar. Kami akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Singapura pada 3.00 petang esok, seterusnya mengambil penerbangan ke New Zealand,” katanya sepertimana dilapor Sinar Harian.
Mariani berkata, keluarganya berasa lega apabila urusan pemergian mereka dipercepatkan kerana rungsing memikirkan nasib keluarga Mohd Tarmizi di perantauan.
“Sepatutnya lusa (Selasa), tak sangka urusan cepat setelah dimaklumkan oleh wakil pejabat Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena.
"Saya dan abang tinggal di Pulau Pinang, manakala Nordina di Kulim, kami bersyukur urusan dipermudahkan,” katanya.
Tiket penerbangan ahli keluarga Mohd Tarmizi dibiayai kerajaan negeri Kedah, Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena serta pejabat Kementerian Luar.
Sementara itu, Setiausaha Kedua, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Muhammad Azhari Azmi dilapor berkata pihaknya sedang berhubung rapat dengan Kementerian Luar New Zealand untuk mendapat maklumat terkini Mohd Haziq.
"Sebarang perkembangan terkini hanya akan dimaklumkan polis kepada ibu Mohd Haziq dan kita bekerjasama erat dengan beliau untuk berkongsi maklumat, sebelum didedahkan kepada umum," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.
#cedera terkena peluru
#doa rakyat Malaysia
#mangsa hilang
#Mariani Shuib
#Mohd Haziq Mohd Tarmizi
#Mohd Tarmizi Shuib
#Nordina Ahmad Fauzi
#serangan masjid
#Tragedi Solat Jumaat
#Zakaria Shuib