Tragedi solat Jumaat: Keluarga Rahimi berlepas ke Christchurch
Astro Awani
Mac 16, 2019 17:48 MYT
Mac 16, 2019 17:48 MYT
Rahimi masih tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan kedua membuang peluru yang terkena tulang belakangnya manakala anak sulungnya masih lagi trauma.
Demikian cerita Roshdi Ahmad, abang kepada Rahimi mengenai keadaan terkini adiknya yang kini dirawat di Hospital Christchurch.
Roshdi berkata dia mahu melihat sendiri keadaan Rahimi dan berharap kehadiran mereka dapat memberi semangat kepadanya.
Menurut Roshdi, dia ada menghubungi adik iparnya Noor Azila Abdul Wahid, 39, kira-kira jam 9 pagi tadi dan Noor Azila memaklumkan anaknya Ahmad Razif diselamatkan orang awam ketika kejadian.
Roshdi yang pertama kali ke New Zealand berkata beliau sendiri terkejut dengan insiden yang menimpa adiknya dan tidak menyangka insiden berkenaan terjadi kepada ahli keluarga sendiri.
Dia yang berlepas ke New Zealand bersama ibunya Rokiah Mohammad dijangka akan berada di Christchurch selama sebulan dan akan kembali ke Pulau Pinang selepas urusan di sana selesai.
Dia berterima kasih kepada semua pihak, khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertungkus lumus membantu keluarganya sehingga mereka dapat pergi ke New Zealand.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Sabtu.
Roshdi dan ibunya berlepas dari LTAPP ke New Zealand menaiki penerbangan Singapore Airlines jam 3.30 petang tadi.
Mereka ditemani Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh dan juga Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.
Rahimi adalah antara tiga rakyat Malaysia yang dikenal pasti cedera terkena tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang.
Rahimi anak ketiga daripada lima beradik itu menetap di New Zealand bersama isterinya Noor Azila Abd Wahid, 39, yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan serta dua anaknya Ahmad Razif, 11, dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014.
Rahimi bekerja sebagai jurutera di kilang susu di New Zealand, manakala isterinya pula penuntut di University of Canterbury.
Sementara itu, Phee berkata mereka dijangka tiba kira-kira jam 11 pagi esok (waktu tempatan) dan memberi jaminan bahawa kesemua mangsa rakyat Malaysia akan diberi rawatan yang terbaik di Christchurch.
#Ahmad Razif
#Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
#LTAPP
#Noor Azila Abdul Wahid
#Rokiah Mohammad
#Roshdi Ahmad
#serangan pengganas
#Solat Jumaat
#Tragedi Christchurch