Tragedi solat Jumaat Christchurch: KJ, Annuar selar kenyataan biadab Senator Australia
Azyyati Ahmad
Mac 15, 2019 19:56 MYT
Mac 15, 2019 19:56 MYT
BEBERAPA ahli politik negara mengkritik seorang senator Australia di atas kenyataannya mengenai serangan maut di dua masjid di Christchurch.
Kenyataan Fraser Anning itu menimbulkan kemarahan di Twitter sehinggakan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menyelar kata-kata Anning itu yang mengaitkan sentimen perkauman dalam tragedi berkenaan.
"Sebab sebenar pertumpahan darah di jalan New Zealand pada hari ini adalah minda perkauman, kepura-puraan seperti anda," kata Khairy membalas kenyataan Anning menerusi Twitternya.
Kenyataan 'biadab' Anning juga turut menyebabkan Ketua Setiausaha UMNO, Annuar Musa bersuara.
“Sedih dan tersangat dukacita melihat serangan dan pembunuhan jemaah masjid di Christchurch yang dilakukan sedemikian rupa.
“Lebih sedih lagi bila ada kenyataan pemimpin politik saperti Senator Fraser Anning yang begitu biadab dan menyeleweng terhadap Islam, kita rasa cukup tercabar,” katanya dalam satu balasan di Twitter.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan telah pun dipadamkan oleh Anning, sebaik ia turut menimbukan kemarahan ramai pihak.
#Annuar Musa
#Christchurch
#Fraser Anning
#Khairy Jamaluddin
#New Zealand
#Senator Australia
#serangan Christchurch
#Tragedi Solat Jumaat
#UMNO