Tragedi serangan masjid Christchurch: Petanda 'sakitnya' media sosial?

Madiha Abdullah
Mac 15, 2019 05:21 MYT
Pengguna media sosial perlu tahu bahawa sebarang bentuk tontonan dan perkongsian merupakan sokongan secara langsung kepada tindakan tidak berperikemanusiaan di New Zealand itu. - Gambar hiasan
TINDAKAN berkongsi dan menyebar video tragedi serangan masjid di Christchurch merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Hakikat yang ia disiarkan secara langsung (livestreaming) oleh suspek, sepatutnya sudah menghantar amaran bahawa berkongsi video itu merupakan tindakan kurang bijak.
Pengkritik berpendapat, tragedi tembakan itu adalah petanda baharu kegagalan platform teknologi digital dalam menangani penyebaran kandungan ekstremis menerusi rangkaian mereka.
"Sebenarnya, tidak sukar untuk mengenal pasti video itu dan menghalangnya daripada dimuat naik semula dan disiarkan atas talian.
"Saya tidak percaya pihak penyedia benar-benar berusaha untuk menghapuskan kandungan yang mengerikan ini," kata Lucinda Creighton, penasihat kanan di Extremism Counter Project, sebuah organisasi dasar antarabangsa, kepada portal VICE News.
BACA: Tragedi solat Jumaat: Jangan tular video insiden berdarah Christchurch!
Apa kata penyedia penstriman video?
"Kami segera menurunkan video dan membuang akaun milik suspek selepas mendapat maklumat. Kami juga menurunkan semua komen dan entri yang menyokong tindakan suspek." - Facebook
"Kami memiliki satu pasukan yang berdedikasi untuk mengurus keadaan seperti ini. Kami juga bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk memudahkan penyiasatan mereka seperti mana yang diperlukan." - Twitter
"Kami sedang berusaha untuk menghapus semua rakaman berkaitan." - YouTube
BACA: Bintang YouTube, PewDiePie, marah namanya disebut
Apa perlu anda buat jika menemui video seumpama ini lagi?
Pengguna perlu tahu bahawa sebarang bentuk tontonan dan perkongsian merupakan sokongan secara langsung kepada tindakan tidak berperikemanusiaan ini, kata Dimi Reider, Editor Hal Ehwal Antarabangsa di portal Newsweek.
"Baca kapsyen pada video. Elakkan daripada menonton video itu jika ia tidak sesuai.
"Jika anda sudah menontonnya, tidak perlu menontonnya sekali lagi, apatah lagi kongsi video itu," kata Reider yang pernah mengikuti kursus khas berkenaan menangani imej dan video yang memaparkan keganasan di Columbia Journalism School, New York.
"Apabila anda menyiarkan komen atau memuat naik maklumat baru, anda mungkin merasa seperti anda sedang participate (mengambil bahagian) dalam satu perbualan penting, atau seperti anda memberi amaran kepada orang ramai tentang satu tragedi.
"Hakikatnya tidak begitu," tambah Reider.
TONTON: Tragedi solat Jumaat: Tembakan rambang di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood
#Christchurch #Facebook #laman sosial #media sosial #serangan #Solat Jumaat #suspek #tembakan #tragedi #Twitter #video #YouTube
;