Tragedi Ramadan: Tiga rumah di Kampung Warna, Kuala Perlis musnah terbakar

Adie Sufian Zulkefli
Mac 15, 2024 22:45 MYT
Tiga buah rumah di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis musnah dijilat api dalam kebakaran pada petang Jumaat. - Gambar ihsan Bomba
KUALA PERLIS: Tiga keluarga diuji dalam awal Ramadan apabila kediaman mereka di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, di sini, musnah dijilat api dalam kebakaran pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kebakaran berkenaan sekitar jam 5.32 petang dan bergegas ke tempat kejadian yang sangat dikenali dalam kalangan pelancong sebagai ‘Kampung Warna Warni.’
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran bermula daripada salah sebuah rumah berkenaan yang dipercayai berpunca dari litar pintas sebelum merebak ke rumah kedua dan ketiga yang terletak berhampiran dengan rumah.
“Malah, rumah kedua didapati rentung sama sekali disebabkan struktur rumah itu diperbuat dari kayu sepenuhnya.
“Dalam kebakaran itu juga, seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar lima tahun melecur di bahagian belakang pinggul sehingga ke kaki kiri dipercayai terkena sisa kebakaran dari rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, semalam.
Mangsa, bagaimanapun, kata Yusharifuddin, berada dalam keadaan stabil dan dihantar Hospital Tuanku Fauziah untuk menerima rawatan.
“Polis masih menunggu siasatan penuh daripada Bomba bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kebakaran,” katanya.
#kebakaran #Kampung Warna terbakar #Kuala Perlis #litar pintas