Tragedi pulang Majlis Tahlil, anggota tentera maut kemalangan

Shuhada Abdul Kadir
Januari 6, 2023 10:30 MYT
Mangsa (gambar kecil) yang bertugas di Kem Terendak Sungai Udang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai menghadiri Majlis Tahlil di tempat kerjanya. - Foto PDRM
MELAKA TENGAH: Seorang anggota tentera maut dirempuh kenderaan lain apabila terjatuh dari motosikalnya selepas melanggar seekor anjing di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Bertam Putra, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa Muhamad Solleh Ramli, 33, yang bertugas di Kem Terendak Sungai Udang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai menghadiri Majlis Tahlil di tempat kerjanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Fortuner milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Sungai Udang menghala ke Ayer Keroh yang mana semasa melalui kawasan Bertam Putra di Lebih SPA, mangsa telah melanggar seekor anjing dan jatuh terseret di lorong kiri jalan.
“Kemudian kereta Toyota Fortuner yang datang dari arah yang sama itu tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa yang berada di lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, akibat perlanggaran tersebut mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun ujarnya, pemandu berkenaan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah bagi tujuan analisa oleh Jabatan Kimia.
“Mayat mangsa pula dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan notis Pol.61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” tambahnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#kemalangan #pulang dari majlis tahlil #langgar anjing #Muhamad Solleh
;