Tragedi Pondok Pak Ya dan empat lagi kebakaran pusat tahfiz
Madiha Abdullah
September 14, 2017 19:30 MYT
September 14, 2017 19:30 MYT
TRAGEDI kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datok Keramat, bukanlah yang pertama membabitkan sekolah agama di negara ini.
Entah di mana silapnya, tragedi seumpama ini kerap kali berlaku di pusat-pusat tahfiz.
Artikel ini bukan berniat untuk mengungkit, tetapi mengimbas peristiwa lalu yang ada kalanya boleh dijadikan panduan agar kita lebih berhati-hati dan seterusnya mengambil langkah proaktif bagi mengelak kejadian sama berulang.
PONDOK PAK YA, GUAR CHEMPEDAK (1989)
Siapa mampu melupakan tragedi Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, pada 22 September 1989? Kebakaran asrama perempuan madrasah yang terletak di Guar Chempedak itu mengakibatkan 27 orang pelajar maut.
Difahamkan punca kebakaran adalah api dari lilin yang dipasang untuk menerangi bilik asrama.
Jenazah mangsa dikebumikan di tanah perkuburan khas yang dinamakan '27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya'.
MAAHAD TAHFIZ AL BARAKAH, TIKAM BATU (2013)
Pelajar pintar, Aiman Nurhakim Yahya, 13, gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku di salah sebuah asrama.
Kejadian jam 2 pagi 15 Jun 2013 itu turut mengakibatkan dua lagi pelajar cedera.
Kejadian berlaku dipercayai akibat litar pintas.
MAAHAD TAHFIZ JAMIUL HASANAH, TANJONG KARANG
Kira-kira 95 peratus bangunan dua tingkat asrama dan bilik kuliah hangus terbakar dalam kebakaran pada 8 Ogos 2015 itu.
Tiada kemalangan jiwa kerana kesemua pelajar menghadiri majlis jamuan hari raya.
Litar pintas dikenal pasti sebagai punca.
MADRASAH TAHFIZ AL REDZUAN, DENGKIL (2016)
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama dan dewan makan terbakar.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pelajar berada di masjid.
SMA AS SIDDIQIAH ISLAMIAH, NAKA (2016)
Seramai 170 pelajar berdepan detik-detik cemas apabila dua bangunan asrama yang turut menempatkan surau terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu.
Mereka berjaya menyelamatkan diri namun gagal menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat.
Nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.