Tragedi perkelahan: Seorang lemas, dua lagi masih hilang di Pantai Kandis
Vivi Sumanti
Mac 28, 2021 23:30 MYT
Mac 28, 2021 23:30 MYT
BACHOK: Seorang lelaki ditemui lemas manakala dua lagi termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun hilang dihanyutkan ombak di Pantai Kandis, di sini, pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mayat Mohd Sahudin Mat Shaah, 46, ditemui jam 7.19 malam dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.
Katanya, dua lagi yang masih hilang dikenali sebagai Junai Rohafizan Juhari, 35, dan Mohd Aman Firas Aman Shah, 12.
Beliau berkata, terdahulu Mohd Sahudin yang berkelah bersama keluarga dan jiran di pantai itu telah menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 15 tahun daripada lemas.
"Pada waktu sama, rakan anak lelakinya iaitu Mohd Aman juga hampir lemas. Mohd Sahudin kemudian sekali lagi terjun ke dalam air untuk menyelamatkannya.
"Kemudian Junai Rohafizan Juhari, 35, yang berada di kawasan itu cuba membantu dan masuk ke dalam air. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka kemudian dihanyutkan ombak," katanya di sini, pada Ahad malam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Yus Heary Mahmud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang mengenai kejadian itu.
Beliau berkata seramai 15 anggota bomba dari BBP Bachok dan BBP Tok Bali telah dikejarkan ke lokasi kejadian
"Anggota bomba menemukan mangsa pertama pada jam 7.19 malam. Ketika kini usaha dilakukan untuk mencari dua lagi mangsa pada jarak 120 meter dari pesisir pantai di sepanjang Pantai Kandis sehingga Pantai Tok Bali," katanya.
#lemas
#Pulau Kambing
#Pantai Kandis
#Bachok
#polis
#Yusrizal Mohd Ghazali
#ombak
#cuba menyelamatkan