Tragedi NKVE: 'Mana adik saya?' - Abang runsing adik hilang selepas bantu mangsa

Malik Ridhwan
Oktober 15, 2018 04:12 MYT
'Ke mana hilangnya adik saya?' - Sumber foto Amir Hamzah Mohd Rozali
Niatnya murni ... hanya ingin membantu mangsa kemalangan.
Namun, seorang pelajar Amir Hamzah Mohd Rozali, 21 tahun kini dikhuatiri hilang selepas dipercayai cuba membantu mangsa dalam satu tragedi jalan raya di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) pada 12 Oktober lalu.
Menurut abang mangsa, Mohamad Khairul Anuar Mohd Rozali, adiknya yang menunggang motosikal dipercayai berniat untuk membantu mangsa kemalangan membabitkan tiga lori dengan sebuah kereta dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 3.50 pagi berkenaan.
“Menurut saksi di lokasi kejadian, adik saya berkemungkinan ingin membantu mangsa yang merupakan pemandu kereta yang terbabas.
“Saya mengesyaki bahawa ketika dia membantu mangsa tersebut, impak daripada lori yang melanggar kereta telah menyebabkan adik saya turut menjadi mangsa dan tercampak ke dalam sungai bersebelahan lebuhraya,” kaya Khairul Anuar ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Berdasarkan maklumat diterima, motosikal milik mangsa jenis Yamaha Y15 dengan nombor pendaftaran ALC 5874 dijumpai di lokasi kejadian dan operasi mencari dijalankan pihak polis dan bomba di Sungai Kayu Ara yang terletak bersebelahan Lebuhraya NKVE.
BACA: Dua maut, tujuh parah dalam nahas lori-kereta di NKVE
Dalam tragedi 12 Oktober itu, dua maut manakala tujuh lagi parah dalam kemalangan dipercayai membabitkan empat kenderaan di Kilometer 14.5 Lebuhraya NKVE dari arah Damansara ke Subang.
#Amir Hamzah #Amir Hamzah Mohd Rozali #hilang #kemalangan #kereta #Lebuhraya NKVE #Lori #maut #Mohd Khairul Anuar Mohd Rozali #Nahas