Tragedi menjelang Syawal, abang parah, adik cedera main mercun bola di Kedah
Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2025 10:49 MYT
Mac 19, 2025 10:49 MYT
Mangsa kejadian mercun bola yang parah kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. - Gambar ihsan PDRM
PADANG TERAP: Dua beradik cedera parah dipercayai akibat terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Baru, Kuala Nerang, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superitendan Abdull Razak Osman berkata, dalam kejadian sekitar jam 8.15 malam itu mengakibatkan mangsa berusia empat dan tujuh tahun dikejarkan ke Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Beliau berkata, siasatan awal polis ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak terbabit tidak menyedari anak mereka sedang bermain mercun di luar rumah.
“Hasil siasatan mendapati dua beradik itu bermain mercun bola yang diperoleh dari rakan sekampung.
“Manakala ibu kanak-kanak tersebut memaklumkan dia hanya menyedari kejadian setelah terdengar bunyi letupan di luar rumah sebelum bergegas keluar dan mendapati kedua-dua anaknya telah cedera.
"Ketika kejadian bapa kanak-kanak itu tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Abdull Razak berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan.
Bagaimanapun, abang parah dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.
“Kita telah membuka kertas siasatan bersangkut kejadian ini yang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 yang mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun bagi kesalahan memiliki bahan letupan.
“Manakala denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebabkan atau membiarkan kanak kanak berada dalam situasi yang boleh menyebabkan kecederaan atau bahaya fizikal,” katanya.
Ini merupakan kejadian pertama akibat mercun berlaku di negeri ini bagi Ramadan tahun ini.