Tragedi menjelang Aidilfitri: Langgar lari, 2 beradik dalam perjalanan ke sekolah maut

Abd Razak Mohd Ali
April 5, 2024 14:55 MYT
Kemalangan itu berlaku ketika dua beradik terbabit yang menaiki motosikal dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru. - Gambar/ Ihsan pembaca
SUNGAI SIPUT: Dua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam nahas langgar lari di kilometer (KM) 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran dengan simpang Taman Desa Salak, dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku ketika dua beradik terbabit yang menaiki motosikal dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru.
Sumber berkata, setibanya di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh telah memasuki simpang jalan secara mengejut.
"Ia menyebabkan berlaku pelanggaran antara kenderaan berkenaan dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
"Nahas mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai melarikan diri," katanya.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Polis telah menerima panggilan berkenaan kemalangan tersebut pada jam 7.12 pagi dan siasatan sedang dijalankan. Siaran media berkenaan kejadian itu akan dikeluarkan,” katanya.
#kemalangan maut #dua beradik maut #langgar lari #Sungai Siput
;