Tragedi Mekah: Dua lagi jenazah jemaah Malaysia dikenal pasti

Astro Awani
September 21, 2015 14:21 MYT
Kren yang tumbang di Masjid al-Haram pada 11 September 2015 yang meragut 107 nyawa. - Foto AFP
Dua lagi jemaah Malaysia yang dilaporkan hilang selepas insiden kren tumbang di Masjidil Haram, 11 September lalu, telah disahkan terkorban.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu sidang media di Mekah memaklumkan jenazah Abdul Habib Lahman, 68 tahun dan Shahidan Saad, 52 tahun telah dikenal pasti dan disahkan oleh waris masing-masing.
Identiti jenazah Abdul Habib yang berasal dari Sik dan Shahidan dari Kodiang, Kedah dibuat berdasarkan identifikasi mereka khususnya gelang, lencana dan barangan peribadi di rumah mayat Muassim.
Waris kedua-dua mangsa diterbangkan ke Arab Saudi bagi tujuan pengecaman.
Menurut Dr Asyraf, tumpuan Lembaga Tabung Haji kini adalah untuk mempercepatkan proses pengurusan jenazah oleh pihak Muassasah.
Penemuan ini menjadikan jumlah korban jemaah Malaysia dalam insiden itu kepada tujuh orang.
Selain Abdul Habib dan Shahidan, lima lagi jemaah Malaysia yang terkorban adalah Rusiah Suar, 56, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, Rohana Ismail, 54, Munah Jusoh, 73 dan Zainun Taha, 69.
Seorang lagi jemaah yang dilaporkan hilang, Abdul Muluk Ishak, 71, bagaimanapun ditemui selamat oleh pihak Lembaga Tabung Haji.
Lima jemaah Malaysia turut cedera.
Dalam insiden 11 September itu, 107 jemaah terkorban apabila kren yang digunakan dalam projek pembinaan Masjid al-Haram tumbang menimpa mereka.
Insiden dipercayai berpunca daripada ribut pasir dan kecuaian pemaju.
#Haji #jemaah malaysia #jenazah #kren #Mekah #tragedi
;