Tragedi mandi sungai: Mayat Nur Arina ditemui 7 kilometer dari lokasi hilang
Abd Razak Mohd Ali
November 19, 2024 19:09 MYT
November 19, 2024 19:09 MYT
IPOH: Mayat seorang wanita yang hilang dihanyutkan arus semasa mandi-manda bersama ahli keluarganya di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Setang, Kampung Kerunai di Gerik pada petang Ahad ditemui hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Rui, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.
Menurutnya, mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarela Kerunai pada jam 4 petang, tersangkut di dahan pokok di dalam air berhampiran tebing.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, kata Sabarodzi, operasi SAR ditamatkan jam 5.30 petang.
Dalam kejadian pada petang Ahad, Nur Arina hanyut dibawa arus deras, manakala ibunya yang berusia 48 tahun diselamatkan orang awam.