Tragedi mandi di Pantai Sungai Ular: Mayat mangsa hilang ditemukan

Bernama
Februari 28, 2021 16:59 MYT
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Rosdan Zakaria berkata mayat Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian. - Foto Facebook Bomba & Penyelamat Negeri Pahang
KUANTAN: Mayat kanak-kanak yang hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular di sini semalam, ditemukan kira-kira 12.45 tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Rosdan Zakaria berkata mayat Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
"Sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mangsa, pasukan bomba bersama anggota polis yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi kejadian.
"Mayat mangsa yang dibawa naik dari pesisir pantai kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dengan penemuan mayat mangsa terakhir itu, operasi SAR tamat pada 1.20 tengah hari, " katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam, Fitrah Dhia Zahraa' Zaidi, 9, dan jirannya, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, yang juga kakak kepada Mohd Fazrul Hakimi ditemukan lemas selepas mereka bersama-sama ahli keluarga ke pantai yang terletak kurang 200 meter dari rumah mereka.
BACA: Dua kanak-kanak lemas, seorang hilang tragedi mandi di Pantai Sungai Ular
BACA: Sempat pegang tangan adik sebelum dipukul ombak - Kakak
Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang merupakan kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa' juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, bagaimanapun diselamatkan oleh orang awam.
Sementara itu, Mohd Zaidi Jusoh, 38, yang menemukan mayat mangsa terakhir itu ketika ditemui berkata beliau yang baru pulang daripada bertugas di Gebeng, di sini, melalui jalan tersebut kerana mengetahui terdapat mangsa lemas di kawasan pantai di situ.
"Ketika lalu saya nampak benda hitam seperti kepala dan sejurus mendekati objek tersebut ia adalah mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.
"Kanak-kanak itu, seolah-olah dibawa naik ke pesisir pantai dengan pukulan ombak...saya menghubungi kawan untuk memaklumkan perkara itu sebelum pasukan keselamatan tiba," katanya.
-- BERNAMA
#Pantai Sungai Ular #tragedi mandi #mayat kanak-kanak #Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin #operasi mencari dan menyelamat #Fitrah Dhia Zahraa #Nor Najuwa Mohd Ariffin #Gebeng
;