Tragedi malam raya, tiga beranak maut dipanah petir

Shuhada Abdul Kadir
Jun 5, 2019 05:22 MYT
Kesemua mangsa maut ditemui terbaring kaku di kawasan kandang kambing. - Astro AWANI/Shuhada Abd Kadir
Sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki mereka ditemui mati dipercayai akibat dipanah petir, dalam kejadian di sebuah kandang kambing dalam kebun getah di Felda Palong 6, petang Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang semalam, mangsa yang maut dikenali sebagai S. Elangovan, 38 tahun, dan isterinya, K. Kaliammah, 36 tahun, serta anak mereka E. Vinesh, tiga tahun disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata kesemua mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga jam 10 malam sebelum ibu mangsa memohon bantuan seorang rakan mencari mereka.
“Ibunya mengadu kepada rakan mangsa kerana risau hujan lebat dan petir pada waktu petang selepas mereka dikatakan pergi ke kandang terbabit untuk memasukkan kambing.
"Rakan mangsa telah pergi ke kandang tersebut dan terdengar tangisan seorang lagi anak mangsa dikenali sebagai Praven dengan kesan melecur pada bahagian kaki,'' ujar beliau.
Kata beliau dalam satu kenyataan, selain itu terdapat tiga individu terduduk dan terbaring kaku di kawasan kandang tersebut.
Tambah Muhd Nur Hishamuddin pemeriksaan dalam kandang turut mendapati terdapat tujuh ekor kambing bergelimpangan dengan kesan terbakar pada bulu badan selain dua ekor anjing turut ditemui mati dengan kesan yang sama di bahagian bawah kandang kambing berkenaan.
Ujarnya, hasil bedah siasat dijalankan pagi Rabu ke atas terhadap semua mangsa didapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#felda palong #hujan lebat #kandang kambing #kebun getah #maut #melecur #panah #petir
;