Tragedi lima sahabat, seorang dikhuatiri lemas
Sharom Abu Bakar
April 4, 2018 05:41 MYT
April 4, 2018 05:41 MYT
Keriangan lima sahabat mandi manda di Pantai Teluk Bidara, Kampung Seberang Pintasan, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.
Muhammad Haikal Fuzi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Padang Jambu, dihanyutkan ombak besar, kira-kira 6.00 petang Rabu.
Mangsa bersama empat lagi rakannya, Ahmad Fazli Abd Manan, 35 tahun, Zubir Ibrahim, 16 tahun, Mohd Fauzi Ibrahim, 22 tahun dan Amirul Syafiq Ruziddin, 23 tahun mandi di pantai berkenaan sekitar 5.30 petang.
Namun, menurut salah seorang rakan mangsa, keadaan bertukar kelam-kabut apabila mangsa dibawa arus deras ke tengah laut.
"Saya ikut mereka mandi, dan mereka cuba menyelam apungkan badan, tiba-tiba arus tarik Muhammad Haikal ke tengah,
"Kami cuba selamatkan diri ke darat, tiga sempat nak ke darat, tapi dia (Muhammad Haikal), tak sempat," kata rakan mangsa, Ahmad Fadzli Abdul Manan.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Zakariya Mohamad memaklumkan usaha menyelamat disertai 46 anggota dari pelbagai agensi, termasuk dengan bantuan nelayan.
Operasi mencari disambung semula 7.00 pagi ini.
"Cuaca yang amat gelap menyebabkan kita terpaksa menghentikan operasi sekitar 10.00 malam, kita akan sambung semula pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas ini di kawasan pesisir pantai bersama agensi bantuan," jelas beliau.
Kawasan pencarian ditumpukan di sekitar lima kilometer per segi dari lokasi mangsa dipercayai hilang.