Tragedi Lenggong: 'Tak sempat peluk, cium kali terakhir'
Astro Awani
Disember 11, 2017 16:15 MYT
Disember 11, 2017 16:15 MYT
‘Terkilan sangat sebab tak dapat peluk,cium buat kali terakhir’.
Itu reaksi Ramelah Yaakob, 54 tahun yang tidak sempat bersua dengan tiga anak saudaranya, Nur Ain Hafizah dan sepasang kembar, Muhammad Hanif dan Nur Ain Hanifah Ismail, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan di simpang empat lampu isyarat berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, pagi semalam.
Dia yang juga kakak kepada bapa ketiga beradik itu Ismail Yaakub, memberitahu tidak mengetahui mengenai perjalanan keluarga terbabit biarpun tinggal di belakang rumah mereka di Kampung Balai Besar, Dungun.
Ramelah juga berkata ketiga-tiga beradik tersebut sangat rapat dengannya terutamanya adik beradik kembar dan sebelum ini, mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Suami dia telefon semalam. Saya tidak tahu pun dia pergi ke Kedah."
“Dia baharu sahaja pegi kenduri anak dia kemudian dia pergi rumah kakak. Tapi kakak rasa hendak peluk, hendak, cium dia, rindu pada dia.
"Tapi kakak reda walaupun tidak boleh hendak cakap apa. Sudah sampai masa dia. Kita juga akan sampai ke situ akhirnya," katanya.
Nada sedih sama turut disuarakan nenek saudara kanak-kanak malang itu, Misah Awang.
"Saya sedih sangat sampai tidak boleh bercakap. Anak saudara saya telefon pun tidak boleh bercakap, kelu lidah ini.
"Mereka sangat gembira dan ceria ketika balik berhari raya sebelum ini. Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku tetapi tetap reda," katanya.
Sementara itu, Ramelah berkata, jika sekiranya bapa kepada ketiga beradik itu meningal dunia, mereka sekeluarga telah sepakat untuk kebumikannya di tanah perkuburan yang sama."
“Jika dia meninggal dunia, hari ini atau esok ke, kakak reda. Kami kebumi di sini jugak sebab kesemua anaknya dikebumikan di sini."
"Dia ada anak-anaknya dengan keluarga di sini sangat rapat. Lagipun kami tinggal di belakang rumahnya," katanya lagi.
Jenazah tiga beradik itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin Dua, Kuantan, kira-kira jam 12 tengah hari selepas disembahyangkan di Masjid Bukit Kuin kira-kira jam 9 pagi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa yang maut adalah dua beradik kembar berlainan jantina berusia lapan tahun iaitu Muhammad Hanif Ismail, dan Nur Ain Hanifah serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22.
Seorang lagi mangsa, Nur Ain Harizah, 13 tahun yang duduk di tempat belakang selamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Ibu dan ayah kanak-kanak berkenaan iaitu Ismail Yaacob, 53 tahun dan Zarina Yong, 44 tahun masing-masing cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Taiping.
#Islam
#jenazah
#Kanak-kanak
#kebumi
#Kedah
#keluarga
#kemalangan
#kemalangan maut
#kembar
#Kuantan
#Lenggong
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#rumah
#tiga beradik