Tragedi Lahad Datu: Tangisan gembira setelah berjaya penuhi hasrat arwah bapa
Ridauddin Daud
Mac 20, 2023 15:32 MYT
Mac 20, 2023 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Tarikh 1 Mac 2013 akan terus tersimpan erat dalam tinta sejarah negara, sejarah hitam yang meruntun jiwa.
Tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu itu menyaksikan dua wira negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud maut angkara peluru tentera Kesultanan Sulu.
Sedekad berlalu, pengorbanan mereka dihargai menerusi persembahan pantomim istimewa dalam Istiadat Peringatan Hari Polis Ke-216 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Bagi waris mangsa, hanya perasaan terharu dan bangga menerjah hati tatkala melihat jasa bapa mereka dihargai sebegitu rupa.
Anak sulung kepada Koperal Sabarudin, Haziq Wahiduzzaman, 28, berkata perasaan terharu terus timbul kerana masih ada yang mengingati pengorbanan bapanya itu.
Dia antara waris yang menyertai pantomim itu dan dalam persembahan itu, dia dilihat menangis tanpa henti di sisi pelakon yang membawakan watak arwah bapanya.
Ketika ditanya, dia memberitahu ia adalah tangisan gembira kerana dapat menunaikan hasrat arwah yang mahu adik-adiknya menyambung pengajian ke universiti.
“Setakat ini, anak-anaknya, dua dah habis ijazah termasuk saya, seorang baru masuk ijazah semalam.
“Dia jadi teringat dan itu kira tangisan gembira, dapat buat apa yang dia nak. Dapat apa yang dia nak, anak-anak belajar.
“Menangis sebab, gembira satu tapi sedih juga sebab dia tak dapat tengok benda tu,” katanya ketika ditemui selepas selesai istiadat.
Perasaan sama turut dikongsi anak sulung kepada Inspektor Zulkifli, Mohd Norakmar Amiruddin, 15, yang mengakui rindu tapi masa sama, bangga dengan arwah bapanya.
Masih segar dalam ingatannya, pesanan terakhir arwah kepadanya yang turut bercita-cita untuk mengikut jejak langkah bapanya.
“Ayah kata ayah pergi kerja tapi dia beritahu yang jaga mak dan adik.
“Tapi bila saya balik sekolah, saya dapat tahu ayah saya dah tiada,” katanya.
Ibunya, Noor Aziah bt Noor, 38, terharu sepanjang menonton persembahan pantomim itu namun dia cuba sedaya upaya menahan sebak .
“Bila ditayangkan video arwah, dalam pantomim tadi…cerita sebenar Lahad Datu, saya berasa sedih tengok keadaan yang betul-betul dialami arwah untuk menjadi seorang pegawai polis.
“Pengorbanan yang dilakukan untuk anak-anak, saya berasa bangga dan syukur,” ujarnya.
Beliau juga berharap pihak berkenaan memberi bantuan kepada keluarganya terutamanya melibatkan pengajian anak-anaknya dari peringkat sekolah hingga ke universiti.