Tragedi Lahad Datu: 'Saya telah bertemu balu, anak Allahyarham ASP Zulkifli' - Saifuddin

Fareez Azman
Mac 22, 2023 13:00 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pertemuan telah diadakan bersama balu Allahyarham, Nooraziah Noor, 38, serta tiga anaknya baru-baru ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa berpegang kepada janji untuk membantu anak-anak Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam tragedi berdarah Lahad Datu sedekad lalu.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pertemuan telah diadakan bersama balu Allahyarham, Nooraziah Noor, 38, serta tiga anaknya, baru-baru ini.
"Saya bercakap sendiri dengan isterinya (balu Allahyarham)... saya jumpa sendiri anak-anaknya... kita telah minta ibu berkenaan memberikan semua dokumen tentang anak-anaknya. Saya sendiri akan memaklumkan nanti dengan Pengerusi Mara (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki).
"Sebenarnya dalam bilik itu (ketika pertemuan) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pun ada (turut berkenan bertemu)... ibu berkenaan minta diberikan dokumen kepada Setiausaha ke Bawah Duli Tuanku," jelasnya.
Tambah Saifuddin, komitmen KDN itu tidak perlu dipertikai sama sekali dalam memastikan anak-anak Allahyarham mendapat peluang pendidikan yang terbaik.
"Komitmen kita untuk membantu tidak boleh dipertikai sama sekali, saya bertanggungjawab berkongsi hal sebenar berlaku, yang dibangkit ibu... dahulunya ada janji sehingga baru ini pihak polis bertemu beliau dan anak-anaknya.
"Ke Bawah Duli Tuanku dan saya... kita akan memudahkan segera, sesuai dengan kelayakan anak-anaknya mendapat peluang pendidikan terbaik," katanya lagi.
Semalam, Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu sidang media memaklumkan agensi itu akan membantu ketiga-tiga anak Allahyarham untuk mendapatkan pendidikan di institusi pendidikan di bawah Mara.
Sebelum ini media melaporkan balu Allahyarham mendakwa ada pihak termasuk agensi kerajaan seperti Mara menjanjikan bantuan pendidikan peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi kepada anak-anaknya.
Namun ujarnya, selepas 10 tahun tragedi berdarah itu berlalu, perkara itu tidak ditunaikan.
#Saifuddin Nasution #KDN #Allahyarham ASP Zulkifli Mamat #Lahad Datu
;