Tragedi kren SUKE: NIOSH lakukan kajian terperinci
Umavathi Ramayah
Mac 23, 2021 21:09 MYT
Mac 23, 2021 21:09 MYT
KUALA LUMPUR : Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menjalankan kajian terperinci bagi mengetahui punca insiden kren gantri yang terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mengorbankan tiga nyawa, semalam.
Naib Pengerusinya Datuk T Mohan berkata, hasil kajian itu akan digunakan untuk menambah baik prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaaan yang boleh dilakukan di tapak pembinaan pada masa hadapan.
"Insiden ini merupakan insiden kali kedua dan saya ingin mengetahui mekanisma keselamatan yang diambil oleh syarikat pembinaan tersebut.
"Bagi mengurangkan insiden ini berulang, saya telah meminta NIOSH untuk menjalankan satu kajian kes yang terperinci terhadap insiden ini bagi mengetahui punca kemalangan dan penambahbaikan prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang boleh dilakukan di tapak pembinaan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohan menjelaskan, hasil dapatan kajian kes itu akan dijadikan sebagai panduan kepada semua majikan dan pekerja di tapak pembinaan.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu, NIOSH sedia menawarkan kepakaran yang sedia ada kepada projek-projek pembinaan milik kerajaan.
Inisiatif itu katanya, hanya dapat direalisasikan sekiranya NIOSH dijadikan sebagai panel perunding keselamatan dan kesihatan pembinaan projek milik kerajaan.
"Usaha ini juga diharap dapat mengurangkan insiden seperti ini berulang di masa hadapan," tambahnya lagi.
Pagi semalam, lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.
Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 120 kaki, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat. Pemandu kereta yang ditimpa gantri itu cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.
#NIOSH
#kemalangan
#kren jatuh
#suke
#Terbunuh
#kepakaran
#Pekerja
#keselamatan
#kesihatan pekerja
#pembinaan
#JKR