Identiti lapan orang jemaah haji Malaysia yang sebelum ini tidak dapat dikesan berikutan tragedi kemalangan runtuhan kren di Masjidilharam di Mekah pada petang Jumaat, telah dikenal pasti.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata Tabung Haji telah pun memaklumkan perkara ini kepada waris-waris di tanah air.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan sebarang perkembangan mengenai kelapan-lapan jemaah haji ini akan dimaklumkan terus kepada waris mereka.

"Sepertimana dilaporkan sebelum ini, seramai enam orang Jemaah Haji Malaysia yang masih belum dapat di kesan.

"Pada semakan ke dua yang telah dijalankan di maktab-maktab dan telah selesai pada jam 10.00 pagi waktu Saudi (3 petang waktu Malaysia) didapati dua lagi jemaah masih hilang, menjadikan jumlah keseluruhannya lapan orang jemaah iaitu tiga orang lelaki dan lima orang wanita," tambah Syed Saleh.

Berikut adalah senarai nama lapan jemaah haji yang tidak dapat dikesan sejak tragedi kemalangan tren jatuh di Masjidilharam, Mekah pada petang semalam:


1) Abdul Habib Lahman (68 tahun), Sik, Kedah

2) Shahidan Saad (52 tahun), Kodiang, Kedah

3) Zainun Taha (69 tahun), Ampang, Selangor

4) Rohana Ismail (54 tahun), Kuala Krai, Kelantan

5) Munah Jusoh ( 73 tahun), Cherang Ruku, Kelantan

6) Siti Nurolshlizan Zolkifli (37 tahun), Tanah Merah, Kelantan

7) Abdul Muluk Ishak (71 Tahun), Pantai Remis, Perak

8) Rusiah Suar (56 Tahun), Sungkai, Perak

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu sidang media khas Tabung Haji pagi tadi berkata dua jemaah lelaki dan empat jemaah wanita Malaysia tidak dapat dikesan sejak jam 4 pagi (waktu tempatan).

Kren runtuh
Insiden kren runtuh di Masjidilharam yang berlaku pada petang Jumaat (waktu tempatan) mengorbankan 107 orang. Sejumlah 238 dilaporan mengalami kecederaan dan sedang dirawat di beberapa pusat rawatan di Jeddah. - Gambar AFP

Jelasnya, pihak Tabung Haji (TH) sedang bekerjasama dengan pihak Muasassah Asia Tenggara bagi mencari jemaah haji tersebut dan operasi ini diteruskan sehingga jemaah tersebut ditemui.

Ketika sidang media berlangsung jumlah kematian dicatatkan meningkat kepada 107 dan 238 dilaporkan cedera.

Kerajaan juga akan memberikan bantuan secepat mungkin kepada jemaah Malaysia yang mengalami kecederaan dalam kejadian kren tumbang di kawasan Masjidilharam, Makkah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tragedi tidak diingini ini berlaku berikutan ribut pasir dan hujan lebat melanda negara timur tengah itu pada jam kira-kira 5 petang waktu tempatan.

Kren tersebut tumbang berhampiran pintu As Salam dan menimpa bangunan di mana bangunan sa'ie terletak.

Sebahagian daripada rangka kren tersebut juga jatuh di bangunan Sa'ie berdekatan mataf.

Untuk mengetahui perkembangan terkini jemaah haji, waris-waris boleh menghubungi Tabung Haji di talian 03-6207 1919.