Tragedi kren Masjidilharam: Mengejutkan dan ada jemaah yang panik - Wartawan

Harits Asyraf Hasnan
September 13, 2015 10:25 MYT
Tragedi pada Jumaat meragut 107 nyawa tetamu Allah - Foto AP
"Mengejutkan dan ada jemaah yang panik," itu gambaran Wartawan Astro Oasis, Mohd Shafie Hashim yang ketika itu berada berhampiran tempat kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah pada petang Jumaat.
Beliau yang sedang membuat penggambaraan program Khabar Haji terbitan Astro Oasis di Arab Saudi, menyifatkan rata-rata jemaah haji redha dan menyifatkan kejadian itu sebagai ujian daripada Allah.
"Tidak diakui situasi ini adalah satu pengalaman yang baru kepada saya dan juga krew kerana kebanyakkan antara kami pertama kali menjejakkan kaki ke sini (Mekah) dan tiba-tiba berlaku insiden seperti semalam (Jumaat).
"Bagaimanapun kami terima keadaan ini dengan positif apabila suasana itu dapat dikawal dengan baik oleh pihak Tabung Haji dan bantuan daripada pihak Arab Saudi kami lihat suasana itu merupakan ujian daripada Allah SWT," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: Tragedi kren runtuh Masjidilharam: Identiti 8 jemaah Malaysia dikenal pasti
FOTO: Tragedi kren runtuh di Masjidilharam, Mekah
Menceritakan semula detik menyayat hati yang meragut 107 nyawa tetamu Allah itu, Mohd Shafie akui fenomena alam luar biasa yang menjadi punca kejadian membuatkan ramai jemaah yang masih trauma.
"Saya kira kejadian ini pertama kali berlaku kepada jemaah haji disebabkan ada pembinaan di sekeliling itu dan jemaah pun tidak menyangka keadaan ini akan berlaku.
"Secara keseluruhan keselamatan itu telah disediakan dengan lebih awal oleh pihak Arab Saudi, namun saya kira kejadian yang berlaku semalam itu adalah kejadian yang tidak diduga dan ia disebabkan fenomena alam yang menyebabkan satu insiden yang kita sedia maklum.
"Tiba-tiba bila ribut pasir semalam (Jumaat) yang menyebabkan ia diikuti ribut dan hujan yang agak kuat keadaan itu menyebabkan jemaah haji yang trauma dan masih lagi tidak boleh menerima keadaan yang berlaku semalam.
Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah, turut sempat menemubual para jemaah Malaysia yang menjadi mangsa serta jemaah lain yang berada di Masjidil Haram ketika kejadian itu berlaku.
"Apabila saya jumpa dengan rata-rata para jemaah yang jadi mangsa kejadian semalam ada yang memberi satu respon positif bahawa ini adalah satu ujian daripada Allah SWT dan juga respon para jemaah yang berada di sekitar masjid semuanya berada dalam keadaan tidak terlalu panik dan menerima semua ini dalam keadaan yang baik," katanya.
Pada masa sama, Mohd Shafie memaklumkan petugas media Malaysia yang kini bertugas di sana juga diberi motivasi dan nasihat supaya dapat menerima insiden itu dengan positif serta mampu melakukan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin.
#Arab Saudi #astro oasis #Haji #jemaah #Makkah #masjidilharam #Mecca #Mekah #Tabung Haji
;