Tragedi konvoi tiga sahabat
Sinar Harian
September 10, 2023 08:30 MYT
September 10, 2023 08:30 MYT
MARAN: Konvoi tiga sahabat yang pulang selepas makan ikan patin Temerloh bertukar tragedi apabila kesemuanya maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di jalan besar Felda Jengka 17 di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, kemalangan melibatkan tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Peugeot.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Norzamri Abd Rahman berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Fadhil Syah Sulaiman,19, Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, masing-masing beralamat Felda Lepar Utara 1 dan Mohd Ridhwan Mahayadin, 35, beralamat Felda Jengka 17 meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Bandar Pusat Jengka menghala ke Temerloh, manakala ketiga-tiga penunggang motosikal dari arah Temerloh menghala ke Bandar Pusat Jengka.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta itu telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan ketiga-tiga penunggang motosikal tersebut.
"Akibat pertembungan itu, kesemua penunggang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Norzamri berkata, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mengesan saksi-saksi bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian